KEMAMAN : Operasi penyelaman yang dilakukan di sekitar lokasi kejadian bot karam yang dipercayai dilanggar tongkang di perairan Kemaman hari ini berjaya menemukan sebuah beg sandang milik mangsa yang masih hilang iaitu Aina Husna Mohamad Husaini, 25.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman, Muhamad Faisal Abdul Rahim berkata, beg sandang berwarna hitam itu mengandungi beberapa barangan peribadi mangsa termasuk lampu kepala, dua buah lampu suluh, kipas tangan, segugus kunci dan pengecas telefon.
“Selain sebuah beg sandang, turut ditemukan sebatang kayu cota dan sebuah pinggan milik tekong bot,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat Zon Maritim Kemaman, hari ini.
Menurutnya, operasi selaman itu dilakukan berpandukan lokasi yang diberikan tekong bot yang menggunakan bot dilengkapi teknologi ‘sounder’ untuk mengesan objek dan lokasi kejadian.
“Selepas selaman dibuat di lokasi kedua iaitu kira-kira 120 meter dari lokasi kejadian, pasukan penyelam berjaya menemukan barangan itu secara berasingan, bagaimanapun kita tidak menemukan bangkai bot,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi pada Ahad lalu, bot dinaiki tujuh pemancing dan dua tekong yang sedang berlabuh ketika mencandat sotong, karam selepas dipercayai dilanggar sebuah tongkang.
Tragedi itu, mengorbankan dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan tekong tempatan, Sharil Ismail,50.
Lima mangsa yang selamat pula ialah Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husaini, 30, Haziyah Harun, 63, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50.
Setakat ini, selain Aina Husna, seorang lagi mangsa yang merupakan pesara polis, Yusof Kassam,66 turut tidak ditemukan. – UTUSAN










