Nilai sebuah mesin juruwang automatik di Nenggiri

Nilai sebuah mesin juruwang automatik di Nenggiri

PERKHIDMATAN mesin ATM amat bermakna bagi penduduk kawasan Bertam di DUN Nenggiri yang terpaksa melalui perjalanan sejauh 50 kilometer ke Gua Musang semata-mata untuk mengeluarkan wang walaupun bernilai RM50.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang sinis apabila calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyatakan komitmen untuk menyediakan kemudahan sebuah mesin juruwang automatik (ATM) selepas memberi maklum balas kepada keluhan rakyat di kawasan Bertam.

Tidak cukup dengan itu ada yang menyindir dan mempersoalkan perkara tersebut khususnya Pas dan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ia selepas Kementerian Kewangan (MOF) mengeluarkan kenyataan media memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Bukan itu sahaja, kemudahan tersebut dijadikan sebagai bahan untuk berkempen bagi mencari kelemahan lawan yang memberikan respon kepada keluhan rakyat.

Namun, di sebalik sindiran itu, bagi penduduk Nenggiri yang majoritinya peneroka dan pekebun kecil getah, kewujudan ATM cukup bernilai buat mereka.

Perjalanan sejauh 50 kilo­meter (km) untuk ke bandar Gua Musang semata-mata mahu mengeluarkan wang berjumlah RM50 bukanlah perkara yang boleh dijadikan bahan lawak.

Bukan itu sahaja, perjalanan menggunakan kereta api yang mengambil masa hampir satu jam untuk ke Gua Musang selain berjalan kaki lebih tujuh km pastinya perit untuk diharungi oleh penduduk.

Selain masa, penduduk perlu memikirkan kos selain seperti tambang pengangkutan, bahan bakar dan sebagainya yang perlu dikeluarkan semata-mata mahu mendapatkan wang simpanan mereka.

Bayangkan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu menggunakan sebahagian wang tersebut untuk menampung kos pengangkutan.

Berat mata memandang, berat lagi bahu bagi lebih 30,000 penduduk di Nenggiri yang memikul serta mengimpikan kemudahan tersebut.

Dalam soal ini, tidak molek rasanya jika isu ATM dijadikan sebagai lawak jenaka atau sindirin kerana akan melukakan hati penduduk yang merupakan pengundi di PRK Nenggiri.

Tidak salah jika benda yang baik, diberikan sokongan padu. Bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×