MATA sering berair dan selalu mengenyitkan mata sambil mengerutkan dahi mungkin petanda kanak-kanak mengalami masalah penglihatan.
Pakar Perunding Oftalmologi Pediatrik, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Fazilawati A. Qamarruddin berkata, gejala-gejala itu adalah antara simptom rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak.
Bagi kanak-kanak yang sudah memasuki alam persekolahan, sering mengeluh tidak nampak tulisan di papan hitam atau putih sewaktu guru mengajar merupakan salah satu gejala yang tidak boleh diabaikan.
Malah, katanya, kadar rabun dalam kalangan kanakkanak meningkat sebanyak 50 peratus dari tahun 2019 hingga 2022.
“Ini berdasarkan data yang kami ada daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2022. Data terbaharu masih dalam penyelidikan.
“Peningkatan rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak dan ini juga terjadi secara global selepas pandemik Covid-19 iaitu mulai tahun 2022 ke atas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PENGGUNAAN GAJET
Walaupun kemungkinan masalah rabun mungkin diwarisi secara genetik, namun kata Fazilawati, risikonya tidak begitu tinggi.
Genetik mempengaruhi kemungkinan terjadinya rabun pada kanak-kanak di mana risiko rabun lebih tinggi jika kedua-dua ibu bapa rabun berbanding jika hanya salah satu yang rabun.
Namun, penggunaan gajet tanpa kawalan juga menjadi penyumbang utama kepada permasalahan ini.
“Punca utama berlakunya masalah rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak adalah banyak melakukan aktiviti jarak dekat sebagai contoh penggunaan telefon bimbit atau tablet pada waktu yang lama tanpa ada waktu senggang ataupun masa rehat.
“Penggunaan ini bukan sahaja untuk kerja sekolah tetapi juga untuk bermain permainan video mahupun menonton video.
“Malah penggunaan ini sangat berleluasa semasa pandemik Covid-19 yang lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.
Rabun jauh juga boleh terjadi akibat kurang melakukan aktiviti di luar rumah atau di luar bilik darjah.
BERI KESAN PEMBELAJARAN
Walaupun rabun sering dianggap sebagai penyakit biasa dialami ramai orang, namun impaknya cukup besar terhadap kanak-kanak.
Kesan yang paling utama adalah berpotensi menjadi punca kemerosotan dalam pembelajaran.
“Ini adalah satu masalah yang serius dan perlu ditangani segera.
“Rabun juga boleh menyebabkan kanak-kanak tidak dapat melayakkan diri dalam acara sukan dan menimbulkan perasaan kurang keyakinan diri.
“Akibatnya, dia kurang bergaul tidak ramai kawan dan merasa dipinggirkan,” jelas Dr. Fazilawati.
Bagaimanapun, masalah rabun sebenarnya boleh dielakkan dengan beberapa langkah mudah.
Antaranya, mengawal masa skrin kanak-kanak serta mendedahkan mereka dengan dunia luar dengan lebih kerap.
FORMULA 20-20-20
“Amalkan peraturan 20-20-20 iaitu pada setiap penggunaan skrin sebanyak 20 minit, harus rehat atau break time selama 20 saat sambil mengalihkan pandangan sejauh 20 kaki. Ibaratnya memandang jauh di luar tingkap.
“Banyakkan aktiviti di luar rumah atau di luar darjah. Kajian menunjukkan bahawa kemungkinan rabun jauh boleh diturunkan sebanyak dua peratus pada setiap jam menjalankan aktiviti di luar rumah atau darjah dalam seminggu.
“Ini adalah kerana reaksi kimia dalam bebola mata apabila terdedah dengan pancaran cahaya matahari boleh menghambat pemanjangan bebola mata dan seterusnya mengurangkan risiko rabun jauh,” katanya.
Ibu bapa turut disyorkan membawa anak melakukan pemeriksaan mata berkala setiap tahun.
Walaupun pada dasarnya pemakanan tidak secara langsung menyebabkan rabun namun, mengikuti pola pemakanan sihat seperti suku suku separuh dapat mengawal peningkatan risiko rabun jauh.
Amalan pemakanan suku-suku separuh adalah pemakanan seimbang iaitu suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayur-sayuran serta buah-buahan.










