MAPPA: Menanti kecemerlangan perkhidmatan awam

MAPPA: Menanti kecemerlangan perkhidmatan awam

PENGUMUMAN mekanisme rasionalisasi gaji dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 yang akan diadakan pada Jumaat ini pastinnya menyuntik lebih ramai bakat berkualiti memasuki sektor kerajaan selain membantu Malaysia menjadi negara progresif, aman dan makmur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zaliha Mustafa menyatakan dalam jawapan bertulis di Parlimen pada awal Julai lalu bahawa perincian berkaitan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam dijangka akan diumumkan semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, Jumaat ini.

Pengumuman perincian itu kelak tentunya salah satu perkara yang ditunggu-tunggu penjawat awam terutamanya di peringkat pegawai pelaksana, yang mana gaji mereka semenjak 2012 belum mendapat penyelarasan dalam menghadapi inflasi semasa dan kos sara hidup yang meningkat tinggi pasca Covid-19. Dengan kenaikan gaji itu kelak akan dapatlah sebahagian penjawat awam di peringkat pelaksana untuk keluar dari kelompok di bawah garis kemiskinan di Malaysia.

Oleh itu, sudah agak pasti, MAPPA ke-19 nanti akan menjadi tumpuan dan dijangka mengundang kebanjiran kehadiran pejawat awam yang menunggu satu pakej rangsangan yang saksama terhadap pikulan tanggungjawab mereka dan seterusnya mengurangkan kerisauan menangani kelangsungan hidup yang makin mencabar.

Bagi mereka yang bukan penjawat awam, MAPPA mungkin satu perhimpunan yang agak asing. Untuk pengetahuan umum, persidangan yang mula diperkenalkan sejak 2000 ini adalah satu medan amanat khas tahunan oleh Perdana Menteri kita kepada pekerja-pekerja yang menjadi jentera kepada perkhidmatan kerajaan iaitu penjawat awam.

Seperti amanat ketua pegawai eksekutif di syarikat-syarikat besar, perjumpaan ini pastinya bertujuan menjelaskan hala tuju kepimpinan negara dan menerangkan objektif strategi utama kerajaan serta memberikan pencerahan terhadap roh dasar awam semasa yang dijanai.

Ini supaya pelbagai lapisan pegawai kerajaan dari kesemua kementerian dan jabatan kerajaan dapat berkongsi visi, nilai serta aspirasi yang dibawa oleh pucuk kepimpinan semasa negara. Seterusnya hasilnya adalah organisasi yang bersatu hati dalam melakukan yang terbaik untuk urusan pentadbiran negara serta dalam memberikan khidmat kepada masyarakat Malaysia.

Semenjak menjadi Perdana Menteri, MAPPA ke-19 bakal menjadi platform pertama untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dan menyampaikan amanat serta aspirasinya secara terus kepada wakil-wakil keseluruhan jentera kerajaan dari pelbagai lapisan jawatan dan perkhidmatan secara khusus terutamanya untuk lebih menerapkan lagi gagasan Malaysia Madani cetusan beliau.

Sesungguhnya MAPPA, bagi sesetengah penjawat awam, merupakan satu-satunya peluang untuk bersemuka secara terus dengan kepimpinan negara serta ruang untuk berinteraksi dan mendapatkan penjelasan tuntas beberapa perkara berkaitan dasar perkhidmatan awam yang terkini.

Saban kali bila MAPPA dianjurkan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta jabatan di bawahnya iaitu Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) akan menjadi tonggak utama memastikan pengisian serta kelancaran perjalanan persidangan ini.

Antara sebab keterlibatan INTAN ialah kerana institut ini senantiasa berperanan dalam proses peningkatan keupayaan dan pembelajaran serta pemerolehan keilmuan bagi perkhidmatan awam.

Selain dari penganjuran MAPPA ke-19 ini, INTAN turut menjadualkan beberapa wacana lain sepanjang tahun ini bersama-sama beberapa menteri Kabinet bagi memastikan hasrat serta pemikiran di belakang satu-satu pelaksanaan dasar oleh kepimpinan negara dapat diselami dan difahami.

Kehadiran awam ke MAPPA dan wacana-wacana tersebut akan dapat memupuk kecaknaan mereka terhadap perkembangan isu semasa dan juga kehendak pemegang taruh yang pelbagai.

Kefahaman dan penghayatan awam yang menjadi tulang belakang pelaksanaan jentera kerajaan ini seterusnya akan membantu dalam melahirkan minda penjawat awam yang progresif serta dapat mencapai objektif penjanaan sesuatu dasar atau peraturan dengan baik. Seterusnya juga pengetahuan baharu yang diterima dapat digembleng untuk pembangunan peribadi dan organisasi bagi perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.

Kali terakhir MAPPA diadakan adalah pada 2022, dengan lebih 6,000 penjawat awam hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan ribuan lagi menonton siaran langsung di platform media rasmi dan media sosial.

CAPAI OBJEKTIF
Diharapkan penganjuran MAPPA ke 19 ini akan memenuhi objektifnya serta menjadi jambatan penghubung di antara kepimpinan negara dengan awam dalam membina kefahaman dan kerjasama serta kebersamaan yang tinggi untuk berusaha dengan lebih baik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Selain dari itu juga, bukti keperhatian kepimpinan negara kepada penjagaan kebajikan penjawat awam dalam bentuk pengumuman mekanisme rasionalisasi gaji di MAPPA ke-19 itu nanti seharusnya disambut sebagai dorongan kepada mereka yang bersemangat pudar untuk pulih lalu terus bersinar dan kepada mereka yang bersemangat tinggi untuk terus melaksanakan kerja dengan lebih cemerlang.

Mungkin juga nanti akan lebih ramai bakat berkualiti di luar sana akan turut tertarik memasuki perkhidmatan awam sekali gus membantu Malaysia menjadi negara progresif, aman dan makmur.-UTUSAN

PENULIS ialah Felo Penyelidik Kanan di Unit Penyelidikan dan Konsultasi, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×