GUA MUSANG: Kelewatan pemberian geran hak milik tanah kepada peneroka tanah rancangan di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bukannya disebabkan kelemahan agensi itu.
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li berkata, masalah itu disebabkan kerajaan negeri Kelantan yang melewat-lewatkan urusan pengeluaran geran kepada peneroka.
Menurutnya, agensi Kerajaan Persekutuan seperti Kesedar tidak boleh dipersalahkan berhubung kelewatan pemberian geran tanah kepada peneroka kerana kuasa berada di bawah kerajaan negeri.
“Barisan Nasional (BN) kerja siang malam hendak sampaikan tanah kepada rakyat. Malangnya, sampai sekarang kita tidak boleh bagi geran pada mereka meskipun sudah miliki geran besar kerana sudah bayar premium untuk tanah ini kepada kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri berlengah-lengah dan tidak mahu menyelesaikannya untuk dijadikan lot-lot supaya diberikan kepada peneroka. Itu tidak boleh salahkan BN. Sekiranya pilih kita jadi kerajaan negeri, tahun depan perkara itu sudah boleh diselesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Veteran UMNO di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini, hari ini.
Tengku Razaleigh memberitahu, sekiranya BN memerintah Kelantan, tanah-tanah Orang Asli juga akan diwartakan sebagai tanah adat.
Sebelum ini, isu pemilikan tanah tercetus apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa Kesedar tidak memproses ribuan lot tanah diluluskan kerajaan negeri untuk diberikan kepada peneroka dalam ceramahnya pada 3 Ogos lalu.
Susulan dakwaan itu Pengerusi Kesedar, Datuk Zawawi Othman meminta Takiyuddin menarik balik kenyataannya atau bakal berdepan tindakan undang-undang.-UTUSAN











