Badminton akui gagal tetapi tetap sumbang pingat

Badminton akui gagal tetapi tetap sumbang pingat

AARON-WOI YIK diiringi Rexy (dua dari kiri) dan Kenny (kanan) pada sidang akhbar 'Post Olimpik Paris 2024' di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini, semalam. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara ‘gentleman’ mengakui mereka sebenarnya gagal mencapai objektif iaitu membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, disebabkan Malaysia amat mendambakan pingat emas, tetapi sebaliknya gangsa yang di bawa pulang ke tanah air, maka, penampilan di Paris dianggap gagal mencapai sasaran.

“Saya takkan beri sebarang alasan di sini, apa yang boleh saya katakan kita perlu lupakan apa yang telah terjadi dan lihat apa yang kita boleh tingkatkan pada masa depan.

“Benar kami gagal mencapai sasaran, tetapi, badminton masih sukan yang menjadi penyumbang pingat kontinjen untuk hampir kesemua Olimpik,” katanya dalam sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) dekat sini, semalam.

Menurut Kenny, memenangi pingat gangsa juga bukanlah satu tugas yang mudah dan bagi yang menyaksikan perlawanan membabitkan wakil negara, maka, mereka akan memahami kepayahan itu.

Mengulas mengenai usaha yang dilakukan BAM dalam tempoh empat tahun, Kenny memberitahu, beliau percaya masih ada perkara yang dilakukan oleh badan induk tersebut berjaya dilaksanakan dengan betul.

“Adakah kita melakukan kesilapan dan melalui kesemua proses itu mesti ada sesuatu perkara yang kami lakukan dengan betul.

“Antaranya mengadakan kem latihan di Lille, Perancis, di mana kami terbangkan lebih awal para pemain kami ke sana disebabkan Paris mempunyai zon waktu yang jauh berbeza iaitu enam jam lebih lewat berbanding Malaysia.

“Jadi, kami ke sana 10 hari lebih awal dan saya merasakan tindakan BAM itu merupakan satu keputusan yang betul dan saya percaya apa yang diperlukan negara kini ialah tuah yang berpihak kepada Malaysia,” tegasnya.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky pula menjelaskan, segala sokongan telah diberi termasuk daripada program Road to Gold (RTG) dan kini apa yang perlu dilakukan ialah menukar perkataan hampir itu kepada realiti.

“Sekarang ini kami mahu memadamkan ‘kita hampir berada di sana’ dengan menjadikan sasaran emas itu sebagai realiti pada 2028,” ujarnya.

Sementara itu, Aaron Chia pula memberi jaminan bahawa dia serta Soh Wooi Yik tidak akan sesekali berhenti berjuang dan berharap dapat mengekalkan momentum sehingga Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA 2028).

“Apa yang lebih penting ialah bagaimana kami mahu mengekalkan prestasi kami sentiasa di tahap terbaik tanpa sebarang kecederaan dan berada di dalam kelompok 10 terbaik dunia,” katanya yang juga juara dunia 2022 bersama Woi Yik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×