Lebuh Raya Pan Borneo pacu sosioekonomi penduduk

Lebuh Raya Pan Borneo pacu sosioekonomi penduduk

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika sebagai Yang di-Pertuan Agong, merakam gambar di 0 kilometer Telok Melano, Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) di Sarawak dalam siri jelajah Kembara Kenali Borneo (KKB) pada September, tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUNCI kepada usaha membangun dan menggerakkan ekonomi di sesebuah negeri itu harus diberikan keutamaan kepada asas pembangunan infrastruktur jalan raya.

Apabila adanya pembangunan terhadap ketersambungan jaringan jalan yang baik, ia secara langsung memberi impak besar kepada peningkatan taraf sosioekonomi penduduk setempat.

Di Sarawak khususnya, dengan adanya projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) yang dibina melalui usaha kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR), ia sudah pasti menghubungkan secara berkesan pedalaman Sarawak dengan kawasan pertumbuhan ekonomi. Antaranya pusat bandar raya Kuching dan juga Nusantara yang bakal menjadi ibu kota Indonesia.

Malah, perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan kelak juga akan memberi impak besar kepada Sarawak dan Sabah selain merupakan tarikan baharu kepada geopolitik dan pembangunan ekonomi di negara ini.

Tidak dinafikan limpahan kepada kesan itu juga akan dimanfaat oleh Sabah, yang mana bakal menjadi perhatian kuasa ekonomi dunia seperti Korea Selatan, China dan Jepun yang selama ini menjadi pemain utama di negeri itu.

Melalui usaha dan komitmen itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.8 billion bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan jambatan persekutuan sepanjang 2024.

Kerajaan juga memperuntukkan RM5.4 billion pada tahun ini kepada kerajaan negeri menerusi Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi memastikan jalan negeri juga dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat.

Bagi 2024, Sabah menerima RM130 juta peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan.

Sarawak pula menerima peruntukan sebanyak RM105.9 juta bagi tahun ini untuk membiayai penyelenggaraan jalan raya persekutuan di seluruh negeri ini.

Prospek membangunkan infrastruktur projek transformasi ini juga perlu difahami ekoran ia mampu membentuk semula ketersambungan dan membina ikatan yang lebih kukuh antara negara.

LPB berfungsi sebagai penghubung utama bagi negeri-negeri Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan Brunei dan kawasan Kalimantan di Indonesia.

Usaha ini merupakan bukti kekuatan kerjasama dan perancangan infrastruktur berwawasan. Meliputi landskap luas dan menghubungkan kawasan yang berbeza. LPB melampaui sempadan geografi dan mendorong pertumbuhan ekonomi.

Dengan mencipta rangkaian jalan yang luas, ia bukan sahaja memudahkan pergerakan orang dan barangan, malah menjadi saluran bagi pergerakan idea, budaya dan perdagangan.

LPB menggariskan komitmen Malaysia untuk meningkatkan ketersambungan dalam rantau ini. Ia juga bukti inovasi, keunggulan kejuruteraan dan pembangunan lestari.

Status terkini LPB fasa satu melibatkan laluan sepanjang 786 kilometer (km) di Sarawak siap 99 peratus, yang mana enam daripada 11 pakej kerja dibuka untuk pengguna.

Selain itu, status kemajuan bagi lima lagi baki pakej di peringkat akhir pembinaan melibatkan kerja-kerja perabot jalan masih belum selesai dilaksanakan.

Hampir keseluruhan jajaran projek ini akan siap pada September kecuali beberapa seksyen di Miri yang perlu direka bentuk semula dan hanya dapat disiapkan pada suku ketiga 2026.

Manakala, LPB Sabah Fasa 1A sudah mencapai tahap 77.41 peratus dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya pada 2026.

Sebanyak empat daripada keseluruhan 15 pakej kerja LPB Sabah dalam fasa itu sudah disiapkan, manakala baki 11 pakej dalam proses pembinaan.

Selain daripada mempromosikan aktiviti ekonomi dan perdagangan, LPB Borneo juga menjadi asas pembangunan sosial. Ia membolehkan akses kepada pendidikan, pusat kesihatan dan peluang lain yang dahulu tidak dapat diakses oleh ramai.

Lebuh raya ini merupakan projek perintis yang menegaskan peranan penting industri pembinaan dalam membentuk nasib sebuah negara. Kesan projek ini melampaui asfalt dan konkrit. Ia melibatkan penyatuan rakyat, mendorong pertumbuhan dan pemangkin kemajuan.

MANFAAT
Dengan pembinaan infrastruktur inilah, Sarawak yakin dari setiap sudut sektor akan terima limpahan kepada impak pembinaan lebuh raya ini.

Jajaran yang terletak di bahagian barat daya Borneo, bersempadanan dengan wilayah Kalimantan Barat, Indonesia merupakan titik permulaan LPB merentasi bahagian timur Tempat Lindungan Samunsan serta Taman Negara Tanjung Datu dan Gunung Gading yang menjadi tarikan utama pelancong.

Lokasi itu ialah satu daripada legasi yang ditinggalkan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk rakyat Tanjong Datu semasa menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima pada 2014 hingga 2017, sebelum meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Rancangan asal adalah untuk membina lebuh raya dari Sematan ke Miri sahaja, tetapi atas permintaan Allahyarham pada ketika itu, Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan pakej laluan Telok Melano membabitkan kos tambahan RM580 juta.

Pembukaan jajaran Telok Melano-Sematan ini secara tidak langsung mengubah kehidupan penduduk kampung di kawasan itu yang dahulunya perlu menaiki perahu menempuh ombak Laut China Selatan jika mahu ke pekan terdekat di Sematan.

Kini, dari pekan Sematan ke Telok Melano melalui jalan darat hanya mengambil masa kira-kira 27 minit untuk sampai ke Kilometer 0 Telok Melano.

Tarikan utama di kawasan itu ialah pantainya yang berdekatan Kampung Telok Melano dan Kampung Telok Serabang.

Setiap kali menjelang hujung minggu atau cuti umum, kawasan pantai Telok Melano menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Malah pembinaan jalan raya berkenaan turut menambah rezeki penduduk dengan pelbagai peluang ekonomi antaranya perusahaan inap desa serta perniagaan kecil-kecilan di tepi pantai.

Dahulu, rata-rata penduduk di kawasan itu hanyalah nelayan dan petani yang bergantung dengan hasil laut serta tani yang diusahakan sendiri secara kecil-kecilan, namun kini ekonomi mereka lebih luas dengan adanya peluang untuk mengusahakan aktiviti-aktiviti pelancongan.
Turut menerima impak itu nanti pelaksanaan projek ini di Sabah bagi Zon Timur melibatkan laluan Kinabatangan hingga Telupid.

Lebuh Raya Pan Borneo Sabah terdiri daripada tiga fasa projek dan sebagai permulaan sebanyak 35 pakej kerja dirangka dan akan dilaksanakan dalam fasa satu membabitkan jarak 706 km.

Justeru itu, tidak dinafikan, ia mampu menarik pengunjung tempatan mahupun dari luar negara untuk merakam kenangan dengan menyusuri hubungan jalan raya di sepanjang LPB ini kelak, sekali gus memberi impak sosioekonomi kepada penduduk sekitarnya.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×