KUALA LUMPUR: Penipuan jual beli tanah oleh individu dikenali sebagai Siti Aisyah Nasib Ghazali melibatkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM547,650.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah menandatangani perjanjian jual beli dengan pemilik tanah kononnya untuk membeli tanah tersebut.
“Dalam masa sama, suspek akan mengiklankan penjualan tanah tersebut secara pecahan lot.
“Bagi meyakinkan mangsa, suspek akan menunjukkan dokumen pembelian tanah tersebut ataupun mendakwa bahawa dia telah memperoleh kuasa mentadbir (power attorney) daripada pemilik asal tanah,” katanya pada sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) di Menara KPJ, semalam.
Menurutnya, mangsa-mangsa akan membuat bayaran bagi membeli lot tanah yang ditawarkan setelah percaya dengan tipu helah suspek.
“Sejumlah enam kawasan di sekitar Selangor telah digunakan oleh suspek dalam tawaran penjualan lot tanah yang dilakukannya.
“Empat akaun bank telah dikenalpasti digunakan untuk menerima bayaran daripada mangsa.
“Tiga daripada akaun didaftarkan atas nama individu termasuk dua daripadanya adalah milik suspek sendiri. Satu lagi akaun didaftarkan atas nama syarikat suspek iaitu Izz Ikhwan Legacy Sdn. Bhd.,” katanya.
Jelas Ramli, siasatan turut mendedahkan beberapa individu lain turut terlibat dalam kegiatan penipuan yang dilakukan oleh suspek.
“Suspek telah ditahan di Gombak, Selangor pada 12 Ogos lalu bersabit satu kes penipuan lot tanah,” katanya.










