MUKADIMAH
PENDIDIKAN merupakan satu permulaan kepada lahirnya pelbagai tokoh ilmuwan hebat dan guru merupakan kunci utama. Namun, untuk mencapai usaha itu, guru juga perlu dipastikan dalam keadaan terbaik, fizikal dan mental mereka.
Untuk memastikan perkara itu, pelbagai langkah dirangka kerajaan bagi memahami setiap permasalahan yang wujud dalam dunia pendidikan agar dapat diatasi segera.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan (NUTP), FOUZI SINGON mengakui hala tuju dalam melahirkan guru berkualiti penuh cabaran dan masih banyak lagi perlu diperbaiki.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, NURUL IRDINA SUMALI dibantu jurugambar, FIRDAUS JOHARI, beliau berkongsi pandangan dan pengalamannya berdepan dengan sebilangan guru yang bermasalah
ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
UTUSAN: Ada dakwaan mengatakan golongan pendidik sekarang ramai yang bermasalah. Komen?
FOUZI: Tidak dapat dinafikan ada yang bermasalah tetapi tidak semua. Saya ada menerima dan menyelesaikan beberapa kes melibatkan guru-guru bermasalah dan ada dalam kalangan mereka terlibat dengan kes amang seksual dan psikologi.
Contohnya, baru-baru ini saya menyelesaikan kes seorang guru yang trauma dan takut dengan air. Dia ditempatkan di sekolah yang memerlukan dirinya untuk naik bot dan merentasi sungai, menjadikan dia tidak dapat bekerja. Dia sudah cuba untuk minta tukar tetapi tidak berjaya dan tidak dapat meneruskan pekerjaannya.
Selain itu, saya juga ada menyelesaikan kes guru terlibat dengan serangan seksual kepada pelajar. Jadi, permasalahan ini tidak patut berlaku dan perlu diselesaikan segera.
Apa punca guru bermasalah?
Banyak sebenarnya punca yang menyumbang kepada guru bermasalah ini. Bukan sekadar masalah psikologi dan seksual tetapi turut melibatkan disiplin, ketidakpuasan hati kepada guru besar, berniaga dan ada yang terlibat dengan masalah hutang.
Isu tidak puas hati dengan guru besar? Boleh ulas?
Ya, dengar macam kelakar tetapi wujud. Saya ada satu fakta kes guru tidak berpuas hati dengan pengurusan dan peraturan ditetapkan oleh guru besar. Ada sesetengah guru besar yang cara pemerintahannya macam kuku besi apabila buat peraturan-peraturan mereka sendiri.
Contohnya, pakai blazer setiap Isnin seperti di Jabatan Perdana Menteri; kalau ada pengetua yang suka dengan taman, akan paksa guru-guru bergotong-royong menghias taman pula. Bayangkan guru sukan yang setiap hari memakai pakaian sukan, seluar trek dan baju-T terpaksa pakai blazer, tali leher dan seluar slek setiap hari Isnin? Pening kepala cikgu-cikgu.
Jadi, peraturan-peraturan sebegini menyebabkan guru-guru stres, tekanan dan emosi yang menyebabkan para pendidik ini tidak boleh fokus dan kerja mendidik mereka terganggu.
Antara kes-kes tersebut, mana paling banyak?
Sedih untuk saya katakan, amang seksual merupakan punca tertinggi yang menyumbang kepada guru bermasalah.
Tidak kisah sama ada suka sama suka, ataupun salah seorang yang ‘memulakan’ dahulu, tindakan itu tetap salah. Seorang guru yang sihat akal fikirannya tidak akan memulakan percintaan dengan pelajar walaupun mereka ‘digoda.’
Sebab itu perlu Kementerian Pendidikan kaji dan wujudkan saringan kesihatan mental kepada guru-guru baharu.
Perlukah saringan kesihatan mental untuk bakal guru?
Untuk pegawai kerajaan sememangnya ada saringan kesihatan tetapi ia lebih tertumpu kepada fizikal, bukannya mental.
Saringan kesihatan mental sebenarnya perlu untuk memastikan semua guru yang bakal berkhidmat lulus ujian atau saringan dan dapat dipastikan keadaan mental yang baik untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar.
Apa fungsi saringan kesihatan mental?
Saringan kesihatan mental bertujuan mengelak proses pembelajaran di kelas terganggu. Kita tidak mahu guru yang mempunyai masalah tidak sedar dengan keadaan kesihatan mental mereka dan tidak mendapatkan rawatan sepatutnya.
Bila kita tahu keadaan kesihatan mental guru-guru ini, barulah pihak pentadbiran terlibat boleh membantu dan menempatkan guru-guru ini sesuai dengan keadaan mereka. Contohnya, kes guru trauma dengan air tadi. Jadi, kita sepatutnya tempatkan dia ke kawasan bandar yang tidak perlu merentas sungai.
Saringan ini bukan sahaja dapat membantu melahirkan guru berkualiti, malah dapat meningkatkan lagi kualiti sektor pendidikan negara dan mencari langkah intervensi terbaik untuk membantu guru-guru yang berhadapan dengan masalah mental.
Berapa segera perlu dilaksanakan saringan kesihatan mental ini?
Kalau boleh secepat mungkin. Saya faham, banyak libat urus perlu dilakukan dan pandangan yang harus diambil kira. Tetapi langkah itu perlu bagi memastikan kualiti pendidikan kita terjamin sebab tugas seorang guru itu besar kerana mereka yang akan mencorak masa depan murid.
Apa tindakan dikenakan kepada guru yang terlibat dengan kesalahan tatalaku?
Sebelum guru itu diberhentikan, akan ada prosedur perlu dilakukan. Selalunya guru bermasalah ini akan terima beberapa surat amaran, nasihat, kaunseling, digantung tugas sementara, ditukarkan lokasi dan akhirnya diberhentikan tugas atau digantung kerja.
Gaji guru setanding tugas dan tanggungjawab mereka?
Pada pendapat saya, kerjaya sebagai guru sudah kompetitif. Gaji yang ditawarkan adalah setanding dengan kerja dilakukan guru.
Sekiranya wujud aduan gaji guru tidak cukup, mungkin guru perlu lebih peka dalam menguruskan masa. Kadang-kadang tidak dapat dinafikan ada sesetengah guru lebih gemar bersembang dan berniaga dalam bilik guru. Jadi, perkara ini perlu dielak supaya tugas hakiki dapat diselesaikan.-UTUSAN










