SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas berita Utusan Malaysia yang melaporkan kira- kira 12 penunggang maut setiap hari dan menjadi penyumbang terbesar kepada angka kematian nahas jalan raya iaitu 75 peratus sepanjang tahun lalu. Banyak faktor kemalangan yang melibatkan motosikal antaranya pertambahan pengguna motosikal dan kenderaan lain di jalan raya.
Pendaftaran kenderaan seperti motosikal yang meningkat setiap hari turut menambah bilangan pengguna motosikal dan kadar kemalangan pula turut meningkat. Antara punca kemalangan yang melibatkan motosikal adalah ketidakcekapan dan tahap keupayaan penunggang mengendalikan motosikal terutama di jalan sibuk selain apabila berhadapan dengan keadaan jalan raya yang tidak selamat yang memerlukan kemahiran mahupun kesabaran yang tinggi.
Bagi saya, semua pihak harus bertanggungjawab agar kematian yang melibatkan pengguna motosikal dapat dikurangkan. Di pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pastikan calon yang ingin mendapatkan lesen motosikal benar-benar cekap dan berkebolehan mengendalikan kenderaan itu tidak kira apa jua keadaan seperti jalan licin, tidak rata, berlubang dan waktu malam.
Pastikan calon yang ingin mendapatkan lesen itu mahir mengendalikan motosikal, bukan terketar-ketar atau terhegeh-hegeh di tempat latihan memandu. Sehubungan itu juga, kesedaran ibu bapa juga diperlukan agar anak-anak mempunyai lesen menunggang motosikal yang sah.
Ketua kampung pula perlu mengambil berat kebajikan anak buah mereka seperti mengadakan Hari Bertemu Polis dan JPJ di komuniti mereka agar kesedaran dan keprihatinan terhadap aspek keselamatan di jalan raya dapat diterapkan. Kalau tidak, kematian yang tinggi dalam kalangan penunggang motosikal di negara ini hanyalah perkara biasa kerana mereka tiada kesedaran terutama tentang aspek keselamatan jalan raya.-UTUSAN
LESEN B2,
Temerloh, Pahang










