Selangor belanja lebih RM20 juta untuk tuisyen rakyat - Utusan Malaysia

Selangor belanja lebih RM20 juta untuk tuisyen rakyat

Tuisyen rakyat
AMIRUDIN Shari menaiki pelantar sebagai simbolik perasmian PTRS 2024 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersama Menteri Besar (Pemerbadanan) MBI membelanjakan lebih RM20 juta dalam melaksanakan pembangunan pendidikan menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di seluruh negeri sejak 2008.

Malah program tersebut terus dikembangkan pada 2018 dan sehingga kini seramai 130,000 pelajar meliputi Tingkatan 4 dan 5 terlibat dalam pembangunan pendidikan khususnya bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM10 juta tahun lalu dan jumlah sama pada tahun ini bagi program tersebut dan menjangkakan kos sedemikian untuk tahun hadapan.

“Tahun lepas RM10 juta, tahun ini RM 10 juta, tahun depan kita akan cuba kekalkan insya-Allah tengok dalam belanjawan nanti. RM10 itu kita cakupi dalam 130,000 dari 230 sekolah termasuk kos membiayai makan tengah hari pelajar.

“Saya juga menghantar bagaimana pelaksanaan modul tuisyen rakyat itu di peringkat Persekutuan. Kalau Persekutuan datang dan ditambah RM10 juta lagi, jadi kita boleh tambah kepada 200,000 pelajar menjelang tahun depan, tetapi kita tengok juga kos dan keupayaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tuisyen Rakyat (PTRS) 2024, hari ini.

Pelaksanaan PTRS kali ini ditambah baik dengan pembangunan aplikasi mudah alih bagi memudahkan 130,000 pelajar mengakses bahan pembelajaran.

Jelas, Amirudin, pentadbiran juga akan meneliti keperluan pemberian data internet percuma sekali gus membolehkan mereka mengulang kaji pelajaran pada bila-bila masa.

“Aplikasi e-PTRS akan memudahkan mereka belajar. Mereka hanya perlu memuat naik (aplikasi) dan boleh digunakan bila-bila masa. Kita kena lihat juga penggunaan data dan jika ada keperluan, kita akan bantu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan PTRS akan dilaksanakan bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri mulai awal tahun depan menerusi modul memperkasa kebolehan pelajar selain memberi penekanan kepada aspek emosi dan pembentukan jati diri.

“Modul ini akan beri pendedahan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian sama ada ke universiti, kolej tingkatan enam atau kemahiran. Kita mahu pandu dan dedahkan mereka dengan kehidupan selepas alam persekolahan.

“Kita lihat PTRS ini bukan hanya membantu pelajar daripada gagal sebaliknya turut jadi nilai tambah kepada pelajar yang cemerlang. Paling jelas purata lulus (SPM) negeri semakin meningkat selain dapat mengekang isu sosial,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×