‘Doktor remaja’ ada rekod psikiatri, peguam tawar khidmat percuma

‘Doktor remaja’ ada rekod psikiatri, peguam tawar khidmat percuma

Zaflee Pakwanteh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis mengesahkan ‘dok­tor’ remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan baru-baru ini pernah mendapat rawatan psikiatri di sebuah hospital pada Mac lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, remaja itu tidak menyusuli rawatan seterusnya menyebabkan fikiran dan emosi gadis itu terganggu.

Beliau berkata, perkara itu disahkan oleh keluarga remaja itu ketika soal siasat baru-baru ini.

“Kita akan dapatkan laporan penuh (rekod rawatan psikiatri) itu daripada pihak hospital. Kami juga difahamkan, remaja itu juga sudah meninggalkan persekolahan,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Katanya, remaja itu juga akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi sesi kaunseling sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
Hussein berkata, siasatan juga mendapati, remaja itu keluar masuk ke kawasan Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang dalam tempoh seminggu.

Ditanya isu tersebut ada kaitan dengan kecuaian pihak hospital atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), Hussein berkata, beliau tidak dapat komen lanjut mengenai perkara itu.

“Kita masih bincang dengan pihak hospital terutama bagi mengetatkan prosedur keluar masuk ke hospital itu terutama di kawasan-kawasan sensitif,” katanya.

Sementara itu, seorang peguam, Zaflee Pakwanteh terpanggil untuk mewakili kes itu kerana keluarga remaja itu bukan orang senang selain memikirkan masa depan remaja itu.

“Dia belum matang, masih muda dan tidak tahu implikasi perbuatannya. Saya akan bantunya dan tawarkan khidmat pro bono,” kata Zaflee.

Pro bono merujuk kepada penyediaan perkhidmatan undang-undang atau profesional tanpa mengenakan bayaran atau dengan bayaran sangat rendah.
Menurut beliau, ibu ibu remaja itu pada mulanya segan namun, selepas diberi penjelasan, dia setuju.

“Kalau bangsa Melayu sendiri tidak mahu tolong bangsa sendiri, siapa lagi mahu tolong,” katanya.
Difahamkan, remaja itu akan dituduh di Mahkamah Sepang dalam masa terdekat bagi dua pertuduhan iaitu Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 170 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.

Remaja itu ditahan reman dua hari berakhir Sabtu lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Sebelum ini, remaja warga tempatan itu ditahan di lobi Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang kerana menceroboh dewan bedah dan menyamar sebagai doktor.

Siasatan awal mendapati, remaja itu menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×