PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron kini perlu kembali kepada realiti untuk menangani kemelut politik yang dicipta dan disembunyikannya sehingga Sukan Olimpik Paris berakhir.
Perbincangan mengenai pekerjaan sektor awam dan pemotongan belanjawan menjadi perhatian, yang bakal mencetuskan kemarahan pengundi.
Sebelum ini, Macron seolah-olah mempertaruhkan nasib Perancis sebagai tuan rumah Olimpik apabila beliau mengumumkan pilihan raya mengejut hanya beberapa minggu sebelum temasya sukan itu dijadualkan berlangsung.
Keputusan pilihan raya itu mengheret Perancis ke dalam parlimen tergantung.
Memilih seorang Perdana Menteri yang dapat memuaskan kem Macron yang berhaluan tengah, pakatan kiri dan National Rally (NR) yang berhaluan kanan, terbukti sukar.
Selepas beberapa hari rundingan politik tidak membawa hasil selepas undian pada 7 Julai lepas, Macron mengisytiharkan gencatan politik sepanjang Sukan Olimpik, memberi dirinya masa sehingga pertengahan Ogos bagi menamakan Perdana Menteri serta membiarkan parti politik berunding.
Sabotaj terhadap sasaran kereta api dan telekomunikasi pada awal Sukan Olimpik, kelihatan seperti petanda buruk, namun acara tersebut berlangsung tanpa sebarang ancaman keselamatan baharu.
Sesiapa sahaja yang bakal dinamakan sebagai Perdana Menteri oleh Macron akan menghadapi tugas yang sukar, iaitu kelulusan bajet 2025 yang perlu dibentang dan diluluskan di hadapan parlimen pada masa sama, Perancis berada di bawah tekanan daripada Suruhanjaya Eropah serta pasaran bon bagi mengurangkan defisitnya.- REUTERS











