Sukar percaya Bangladesh bolos 9 gol

Sukar percaya Bangladesh bolos 9 gol

PAULO Josue. - IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang naturalisasi negara, Paulo Josue hairan bagaimana Bangladesh boleh melepaskan sembilan gol ketika tewas 2-9 kepada Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026, semalam.

Kemenangan besar itu menafikan hak Malaysia untuk melangkah ke pentas final apabila Indonesia muncul selaku juara Kumpulan A dengan kelebihan jaringan, biarpun berkongsi tujuh mata dengan Harimau Malaya.

Josue mengakui merasa pelik apabila mendengar berita Bangladesh dibolosi sebanyak sembilan kali dalam perlawanan itu, pada masa sama, beliau melihat itu tidak mematahkan semangat Malaysia untuk memburu tempat ketiga kejohanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa tugas telah dilaksanakan mengikut apa yang kita rancangkan untuk perlawanan ini (menentang Singapura) dan juga kejohanan ini. Bermula dengan baik menentang Bangladesh, kemudian perlawanan yang sukar menentang Indonesia.

“Hari ini (kelmarin) adalah perlawanan di mana kita perlu menjaringkan gol dan menang, dan kita berjaya menjaringkan banyak gol tetapi malangnya ia tidak mencukupi. Nampaknya Indonesia menjaringkan sembilan gol.

“Sangat sukar untuk dipercayai lawan boleh melepaskan sembilan gol dalam kejohanan sebegini, tetapi itulah hakikatnya. Kita tidak perlu kecewa dan bersedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya selepas perlawanan.

Selain itu, persoalan mengenai masa tambahan dalam aksi Indonesia menentang Bangladesh terus menjadi perhatian apabila seorang lagi penyerang naturalisasi negara, Bergson Da Silva menyifatkan tambahan masa itu sesuatu yang mengarut.

Bergson menyuarakan persoalan itu menerusi ruangan komen Instagram selepas Indonesia diberikan tambahan masa yang dilaporkan berubah daripada dua kepada tujuh minit sebelum dua gol berjaya dijaringkan pada penghujung aksi.

“ini mengarut, Sepanjang kejohanan memang memihak kepada mereka (Indonesia). Mereka bermain ketiga-tiga perlawanan di Jakarta pada waktu malam, sedangkan pasukan lain bermain di Bandung dan pada sebelah petang, dengan perlawanan setiap dua hari.

“Dalam perlawanan hari ini (kelmarin) pula, pada awalnya diberikan dua minit masa tambahan sebelum tiba-tiba ditambah menjadi tujuh minit. Mereka menjaringkan dua gol dalam dua minit terakhir masa tambahan.” tulisnya.

Dalam pada itu, rakan sepasukan, Arif Aiman Hanapi, pula mengulang siar beberapa video yang memaparkan situasi perubahan masa tambahan itu, manakala Nazmi Faiz Mansor turut berkongsi paparan masa tambahan dengan emoji gelak sinis di Instagram story. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN