Rombakan Kabinet: 'Kalau sumber tidak dinyatakan jangan percaya'

Rombakan Kabinet: ‘Kalau sumber tidak dinyatakan jangan percaya’

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan akan melakukan rombakan Kabinet membabitkan Jemaah Menteri dalam masa terdekat seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata, perkembangan terbaharu membabitkan laporan rombakan Kabinet itu baru sahaja dimaklumkan kepadanya.

“Itulah saya baru diberitahu. Saya tak dengar lagi, siapa yang hendak tolong reshuffle (rombakan), saya tak dengar… seriously (betul ini),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2024, di sini, hari ini.

Turut hadir  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Terdahulu, sebuah portal dwi bahasa tempatan melaporkan kerajaan akan melaksanakan satu lagi rombakan Kabinet selepas setahun rombakan pertama dilakukan tahun lalu.

Memetik laporan portal tersebut, seorang Menteri Besar turut akan dilantik memegang jawatan Menteri dalam rombakan yang didakwa tersebut.

Bagaimanapun, ketika ditanya berhubung perkara itu, Anwar secara berseloroh berkata, rombakan tersebut mungkin akan dilaksanakan selepas pilihan raya.

Perdana Menteri juga sempat bertanya kepada pemberita berhubung dakwaan tersebut dan siapakah sumber yang memaklumkan  namun berdasarkan laporan berita portal berkenaan ia memetik sumber tidak dinamakan.

“Kalau (sumber) tidak dinamakan, jangan percaya dong,” seloroh Perdana Menteri sebelum meninggalkan majlis.

Kali pertama rombakan Kabinet di bawah pentadbiran Anwar dilaksanakan pada Disember tahun lalu membabitkan beberapa portfolio.

Dalam rombakan itu, V. Sivakumar daripada DAP digugurkan daripada jawatannya sebagai Menteri Sumber Manusia dan digantikan oleh Steven Sim manakala Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad kembali sebagai Menteri Kesihatan.

Turut berada dalam Kabinet adalah Datuk Seri Johari Ghani sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi sementara beberapa menteri lain bertukar portfolio.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN