KUALA LUMPUR: Pelakon, Thompson Goh, 27, mengambil pendekatan untuk mengabaikan ajakan pihak-pihak tertentu yang menawarkannya habuan lumayan bagi melakukan sesi fotografi tanpa seurat benang.
Tegas bekas peserta Hero Remaja 2020 itu, dia tidak akan sesekali menggadaikan harga diri atau bersikap gelap mata sehingga sanggup berbogel depan kamera walaupun ditawarkan bayaran yang tinggi.
“Saya tak nafikan, memang ada pihak-pihak tertentu yang menghubungi saya di media sosial, sanggup membayar dengan harga yang tinggi sekiranya saya bersetuju berbogel depan kamera.
“Kalau ikutkan, tawaran ini memang mendatangkan habuan lumayan. Tapi, semua ini berbalik kepada harga diri. Kenapa perlu saya berbogel dan tayang kepada masyarakat?
“Ada orang sanggup lakukannya. Itu hak mereka. Tapi saya tidak, kerana saya sentiasa ingat, segala imej kita yang dimuat naik di alam maya, akan selamanya kekal di sana.
“Jadi semua tawaran sedemikian yang kebanyakannya saya terima di media sosial, saya abaikan,” katanya.
Pelakon filem Kahar: Kapla High Council itu juga menyedari sebagai penggiat seni, dia harus berhati-hati dan menjaga tingkah lakunya bagi mengelakkan kontroversi.
“Saya sentiasa berpesan kepada diri sendiri, kalau mahu jadi anak seni, kena awasi tindak tanduk.
“Jangan buat perkara yang keterlaluan sehingga timbulkan kontroversi.
“Sebab itu, kalau diamati media sosial saya, kandungan yang saya kongsikan lebih bersifat positif, mengajak masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat,” jelasnya.










