ALOR SETAR: Takungan semasa sumber air di tiga empangan kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) diyakini mampu menyalurkan bekalan itu bagi tujuan pengairan penanaman padi musim kedua tahun ini.
Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, jumlah keseluruhan takungan di ketiga-tiga empangan itu yang kini 40.34 peratus masih mencukupi untuk memenuhi permintaan dan keperluan semasa.
“Bukan sahaja dapat menampung keperluan pada musim 1/2024 ini yang hampir sampai ke penghujungnya, kita juga yakin bekalan sedia ada masih mampu digunakan sehingga berakhir musim 2/2024 pada hujung tahun ini jika tidak berlaku hujan dalam tempoh itu.
“Di samping itu, bekalan untuk kegunaan domestik dan industri juga tidak terjejas berdasarkan takungan semasa di Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Aktiviti penanaman padi bagi musim kedua tahun ini dijangka bermula seawal Oktober depan sebelum berakhir dengan proses tuaian kira-kira dua bulan kemudian.
Berdasarkan bacaan semasa, takungan di Empangan Pedu adalah 34.55 peratus; Empangan Muda sebanyak 8.16 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 79.74 peratus.
Menurut Dr. Ismail, aktiviti menanam musim 1/2024 kini mencapai tahap 99.3 peratus iaitu seluas 99,963.9 hektar sehingga akhir bulan lalu manakala berbunga pula mencapai keluasan 4,051.8 hektar.
“Kawasan tanaman padi yang telah mencapai peringkat masak adalah berkeluasan sebanyak 67.4 hektar atau 0.10 peratus sementara aktiviti menuai juga sebanyak 0.10 peratus dengan keluasan 60.4 hektar sehingga 31 Julai lalu,” ujarnya.
Beliau berkata, petani dinasihatkan agar sentiasa mematuhi jadual penanaman yang ditetapkan untuk memastikan penggunaan air yang berkesan dan mengelak pembaziran.
Sebelum ini, MADA menjelaskan sumber air di negeri Kedah akan dikategorikan kritikal sekiranya paras takungan di Empangan Pedu yang digunakan bagi tujuan domestik, pertanian dan industri menurun sehingga 15 peratus.
Malah, pemantauan semasa paras takungan air hanya berpandukan data di Empangan Pedu memandangkan Empangan Muda yang berperanan sebagai tadahan akan menyalurkan sumber itu ke Empangan Pedu menerusi Terowong Saing sepanjang 6.8 kilometer.
Empangan Pedu pernah mencatatkan paras menurun sehingga 11.21 peratus pada 15 April 1982, namun masih mampu menampung permintaan ketika itu. – UTUSAN










