LONDON: Calon Presiden Parti Hijau Amerika Syarikat (AS), Dr Jill Stein yang merupakan seorang pro Palestin menjadi calon utama dalam kalangan pengundi Arab-Amerika menjelang Pilihan Raya Presiden AS pada November ini.
Berdasarkan soal selidik dikeluarkan satu Jawatankuasa Anti Diskriminasi Arab-Amerika, Stein memperoleh sokongan 45 peratus dalam kalangan komuniti tersebut khususnya yang beragama Islam.
Memetik laporan Arab News, wanita itu yang merupakan doktor dan aktivis alam sekitar berada itu kedudukan pertama manakala calon Parti Demokrat, Kamala Harris pula pada tangga kedua dengan sokongan 27.5 peratus.
Lebih mengejutkan, calon Republikan, Donald Trump hanya meraih sokongan dua peratus manakala 17.9 peratus pengundi tidak pasti, enam peratus tidak mengundi manakala 1.3 peratus komuniti Arab Amerika memilih calon Bebas, Robert F. Kennedy yang menawarkan diri dalam pilihan raya AS.
Tinjauan itu yang telah dijalankan antara 27 dan 28 Julai melalui kerjasama antara tiga badan kajian iaitu ADC, Molitico untuk cerapan data dan pakar tinjauan pendapat, Community Pulse.
Menurut Pengarah Eksekutif Nasional ADC, Abed Ayoub, pengundi Arab-Amerika dilihat cenderung kepada Stein kerana perjuangan hak asasi manusia terhadap Palestin dan penentangan tindakan tentera Israel di Gaza sejak Oktober 2023.
Dalam satu catatan di platform sosial X, beliau berkata, sokongan kuat Stein pada 45.3 peratus adalah sama dengan tinjauan pendapat sebelum ini
“Ia menunjukkan sokongan masyarakat yang konsisten, sebahagian besarnya kerana pendiriannya terhadap hak asasi manusia Palestin,” katanya.
Stein menjadi pilihan dalam kalangan pengundi Arab sejak tinjauan pendapat terakhir ADC pada Mei lalu. di mana dia mendahului dengan sokongan 25 peratus berbanding Presiden Joe Biden yang menarik diri daripada pemilihan pada Julai dan Trump, masing-masing mendapat tujuh peratus dan dua peratus.
Sebelum ini, Stein mempertimbangkan tiga pemimpin hak asasi Palestin sebagai calon gandingannya dalam Pilihan Raya Presiden AS 2024.
Stein yang merupakan seorang doktor dan aktivis adalah penyokong hak asasi Palestin sejak sekian lama dan sebelum ini telah menzahirkan hasrat untuk menjadi calon Presiden AS.
Tiga calon tersebut termasuk dua individu Amerika-Arab antaranya adalah Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Anti Diskriminasi (ADC), Abed Ayoub; Aktivis Palestin-Amerika, Amer Zahr dan wartawan serta aktivis, Jacqueline Luqman.











