GAZA CITY: Serangan terbaharu Israel di Sekolah Al-Tabin di sini yang membunuh lebih 100 orang awam, menghidupkan semula desakan agar Amerika Syarikat (AS) menghentikan sokongan terhadap Tel Aviv termasuk pembekalan senjata yang hanya menyumbang kepada kekejaman di wilayah berkenaan.
Pengasas bersama dan Presiden Institut Arab Amerika, James Zogby berkata, AS dan sekutunya mendakwa gencatan senjata hampir tercapai, namun pada hakikatnya lebih banyak rakyat Palestin terbunuh dalam genosid yang berterusan.
“Sudah tiba masanya untuk menghentikan sandiwara ini. Israel tidak mahu keamanan atau gencatan senjata. Mengapa kita masih menghantar senjata kepada Israel?,” katanya.
Wartawan CNN, Allegra Goodwin dalam satu hantaran di laman X mendedahkan, serangan tersebut dilancarkan Israel menggunakan bom GBU-39 buatan AS, namun Al-Jazeera tidak dapat mengesahkan perkara berkenaan.
Serangan itu berlaku ketika Presiden AS, Joe Biden menghadapi tekanan awam selama beberapa bulan untuk menghentikan bekalan senjata ke Israel selepas konflik di Gaza
meragut lebih 39,700 nyawa rakyat Palestin sejak awal Oktober lalu.
Israel menerima sekurang-kurangnya AS$3.8 bilion (RM16.8 bilion) dalam bentuk bantuan ketenteraan setiap tahun daripada AS dan Biden juga meluluskan AS$14 bilion (RM62 bilion) bantuan tambahan awal tahun ini.
Kumpulan hak asasi manusia juga melaporkan penggunaan senjata buatan AS oleh Israel dalam pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia yang bercanggah dengan undang-undang dan dasar AS ketika perang.
Namun, jurucakap Jabatan Negara AS kelmarin mengumumkan Washington akan menyalurkan bantuan tambahan sejumlah AS$3.5 bilion (RM15.5 bilion) kepada Israel untuk tujuan pembelian senjata dan peralatan ketenteraan buatan Washington. – AGENSI
WARGA emas merupakan antara mangsa serangan Israel yang berlaku di sebuah sekolah dijadikan pusat perlindungan mangsa perang di Gaza.-AFP











