Empat lelaki bergaduh hingga lepas tembakan di pusat hiburan ditahan - Utusan Malaysia

Empat lelaki bergaduh hingga lepas tembakan di pusat hiburan ditahan

RUSDI MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan sehingga melepaskan tembakan di sebuah pusat hiburan di Pudu dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan pada 3.45 pagi semalam berkaitan satu pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki yang berlaku di pusat hiburan terbabit.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati pihak polis turut menemukan tiga butir kelongsong peluru dan dua peluru hidup di tempat kejadian.

“Akibat dari pergaduhan tersebut, seramai empat lelaki warga tempatan yang berusia lingkungan 29 hingga 40 tahun telah cedera dipercayai disebabkan oleh senjata tajam.

“Kesemua mereka telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang namun telah dibenarkan keluar dari hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, menurutnya, pihak polis telah menahan mereka untuk membantu siasatan.

Jelas beliau, kesemua suspek akan reman hari ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

“Polis Kuala Lumpur memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang,” katanya.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian jenayah, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur ditalian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×