Israel guna alasan kubu Hamas tutup jenayah serang sekolah

Israel guna alasan kubu Hamas tutup jenayah serang sekolah

SUASANA hiba menyelubungi hospital al-Maamadani yang menempatkan jenazah mangsa korban serangan Israel terhadap sebuah sekolah di bandar Gaza, awal pagi semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel melancarkan serangan baharu terhadap sebuah sekolah di Gaza, membunuh lebih 100 rakyat Palestin, ketika Tel Aviv mendakwa bersetuju menghantar wakil untuk pusingan baharu rundingan gencatan senjata.

Tentera Israel cuba mempertahankan perbuatan jenayahnya itu dengan mendakwa serangan yang dilancarkan awal pagi semalam, menyasarkan kubu kumpulan pejuang Hamas.

“Serangan Israel menyasarkan orang awam yang kehilangan tempat tinggal semasa mereka sedang menunaikan solat Subuh, menyebabkan peningkatan mendadak dalam jumlah mangsa,” kata pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan oleh Hamas dalam satu kenyataan.

Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmoud Basal berkata, puluhan penduduk cedera selepas Israel mengebom sekolah Al-Taba’een di kawasan Al-Shaba di bandar Gaza.

Mahmoud menggambarkan kejadian itu sebagai pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan, dengan beberapa mayat ditemukan rentung.

“Pasukan keselamatan berusaha untuk mengawal kebakaran bagi menguruskan mangsa korban dan menyelamatkan mereka yang cedera,” katanya.

Khamis lalu, Israel melancarkan serangan di dua sekolah di bandar Gaza, yang mengorbankan kira-kira 18 nyawa.

Tentera Israel berterusan menggunakan alasan sama bagi menutup jenayahnya, konon serangannya itu menyasarkan kubu Hamas.

Israel berikrar untuk menghapuskan kumpulan pejuang tersebut sebagai tindak balas terhadap serangan 7 Oktober tahun lalu, yang kini melumpuhkan seluruh Gaza dan mengorbankan hampir 40,000 rakyat Palestin.

Bagaimanapun, sepanjang 10 bulan perang di selurub Gaza, tentera Israel mendapati mereka terpaksa kembali ke beberapa kawasan untuk berperang semula dengan pejuang Hamas.

Kelmarin, Israel mengumumkan operasi ketenteraan baharu di sekitar Khan Younis, selatan Gaza, selepas pasukan itu berundur pada April lalu setelah berbulan-bulan bertempur dengan kumpulan pejuang.

Susulan operasi itu, Israel mengeluarkan arahan pemindahan untuk beberapa bahagian Khan Younis, melibatkan sekurang-kurangnya 60,000 rakyat Palestin.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×