LIPIS: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan dirinya adalah dalang utama menjatuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika itu dalam usaha mengelakkan parti tersebut diharamkan.
Menurutnya, tindakan berani dan berstrategik terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan UMNO yang ditekan dari pelbagai sudut oleh Dr Mahathir supaya UMNO tidak mampu bangkit dan ingin mengharamkan UMNO.
“Apabila mengetahui UMNO mahu diharamkan dan ini disahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di ILMU, Janda Baik..kertas pengharaman telah berada di atas meja Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ketika itu.
“Dalam situasi itu, tentunya semua ahli apatah lagi kepimpinan UMNO di semua peringkat amat mengharapkan pada saya bagaimana cara terbaik untuk menyelamatkan UMNO supaya tidak diharamkan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Cameron Highlands di Dewan UMNO bahagian di Sungai Koyan di sini semalam.
Jelas Ahmad Zahid, pendedahan itu akan dimasukkan ke dalam buku tulisannya yang kini dalam proses untuk disiapkan bagi dijadikan rujukan sejarah bangsa akan datang.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan perwakilan ketika ucapan penangguhannya di Perhimpunan Agung UMNO pada 2018.
“Saya menyatakan bahawa dalam masa terdekat kita akan menjadi sebahagian daripada kerajaan tetapi saya diejek beberapa individu tertentu yang tiada dalam UMNO.
“Maka dalam keadaan itu, di Jelai, di Sungai Koyan di sini, saya mesti menyatakan, saya mengakui bahawa saya adalah dalang utama yang menjatuhkan Tun Dr Mahathir ketika itu, demi UMNO mana mungkin diharamkan, dihina dan dijatuhkan dengan pelbagai fitnah,” ujarnya.











