Ramadan: Ancaman Nabi SAW - Utusan Malaysia

Ramadan: Ancaman Nabi SAW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebiasaannya apabila menjelang Ramadan, kita akan diperdengarkan kisah atau khabar-khabar gembira tentang bulan yang penuh berkat ini.

Dibawakan hadis-hadis yang menceritakan kelebihan dan keistimewaan bulan ini sebagai motivasi untuk umat Islam meraih sebanyak mungkin pahala dan ganjaran yang terdapat di dalamnya.

Namun tahukah kita, di sana terdapat juga beberapa hadis yang menceritakan tentang khabar yang ‘menakutkan’ setiap kali menjelang dan berlalunya Ramadan?

Antara hadis yang menceritakan ancaman atau peringatan keras nabi berkaitan Ramadan adalah yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA. Menurut beliau, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: …Rugi (celaka) orang yang apabila masuknya bulan Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni… (Riwayat al-Tirmidzi)

Bayangkan ancaman daripada Rasulullah SAW terhadap sejenis kumpulan manusia yang telah lalui Ramadan tetapi bukan sekadar dosanya tidak diampuni, bahkan nabi mendoakan pula kerugian atau kecelakaan untuk mereka. Semoga dijauhkan..

Begitu juga dengan hadis yang masyhur daripada Jabir bin Abdillah r.a. Beliau menceritakan saat ketika mana Nabi SAW melangkah menaiki anak tangga untuk menyampaikan khutbah, tiba-tiba didatangi malaikat sambil membisikkan sesuatu kepada Nabi SAW, sehingga baginda menyebutkan aamiin sebanyak tiga kali.

Menjawab kehairanan sahabat, nabi SAW bersabda yang bermaksud: Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepadaku dan berkata: Celakalah seseorang hamba yang bertemu dengan

Ramadan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya. Lalu aku pun menyebut Aamiin.. (Riwayat al-Bukhari)

Ya, yang berdoa ‘kecelakaan’ adalah malaikat dan yang mengaminkan doa ini adalah Nabi SAW.

SIAPA GOLONGAN RUGI INI?
Mungkin akan timbul kefahaman dalam kalangan kita, hadis-hadis ini mungkin menyasarkan kepada golongan yang jelas tidak berpuasa Ramadan. Juga yang tidak mendirikan solat pada malam Ramadan, yang tetap melakukan maksiat dan kemungkaran secara terang-terangan dalam Ramadan sehingga nabi memberi khabar menakutkan.

Walhal, ia tidak semestinya ditujukan kepada golongan tersebut. Bahkan terdapat hadis lain menceritakan bahawa golongan ini juga berpuasa dan solat sebagaimana kita.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar, dan boleh jadi orang yang berqiam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiamnya melainkan hanya berjaga malam. (Riwayat Ibnu Majah).

Maksud laisalahu atau “tidak mendapat apa-apa” ini termasuklah tidak mendapat pahala dan tidak pula mendapat ganjaran diampuni dosa.

Kemudian dalam hadis riwayat Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya. (Riwayat al-Bukhari)

Hadis-hadis ini mengukuhkan dalil bahawa terdapat sekumpulan manusia yang menghadapi Ramadan bersama kita, ‘bersusah payah’ berpuasa sepanjang hari dan mendirikan solat pada malam hari seperti kita.

Namun semua itu tidak memberi makna kepada si pelaku, melainkan sia-sia.

Sifirnya mudah: Ramadan tiba = amalan tidak diterima (sia-sia)

Ramadan berakhir = dosa tidak diampuni + didoakan kecelakaan.

KESIMPULAN
Di dalam Syarah Miskkah al-Masabih, dikatakan qiam (termasuk puasa dan amal lain) seseorang itu menjadi sia-sia apabila hilangnya dua syarat iaitu ikhlas dan khusyuk. Tambahan pula, riak juga boleh menyebabkan qiam seseorang itu boleh menjadi sia-sia.

Sementara itu, nasihat Jabir bin Abdillah r.a, “Seandainya kamu berpuasa maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu turut berpuasa dari melakukan pendustaan dan hal-hal yang haram, serta janganlah kamu menyakiti tetangga. Bersikap tenang dan berwibawalah di hari puasamu. Janganlah kamu jadikan hari puasamu dan hari tidak berpuasamu sama saja.” (Latho’if Al Ma’arif, 1/168, Asy Syamilah)

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya mereka adalah orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap (raghbah) dan bimbang (rahbah). Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami. (al-Anbiya’: 90)

Moga-moga perasaan rahbah iaitu perasaan ‘takut’ yang ditimbulkan daripada ayat-ayat ancaman dan amaran ini, membuatkan kita kembali sentiasa bermuhasabah, seterusnya membetulkan nawaitu dan tatacaranya.

Untuk itu, marilah kita membanyakkan doa: Ya Allah, aku memohon pada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima. (Riwayat Ibnu Majah)

Semoga Ramadan 1442H ini benar-benar bermanfaat buat diri kita, keluarga dan kita semua, aamiin ya Rabb.

——————

MUAZ MOHD. NOOR ialah
Pensyarah, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS),
UiTM Cawangan Melaka,
Kampus Alor Gajah.
[email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×