SHAH ALAM: Seorang warga China ‘ke dalam’ selepas menyebabkan pencemaran sungai dengan melepaskan sisa buangan bahan kimia dekat sebatang sungai di Kuang, Rawang pada 23 Julai lalu.
Bagaimanapun dia yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang semalam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Haki Nor Rajiah Mat Zin.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam kenyataannya berkata, berdasarkan pertuduhan lelaki berusia 42 tahun itu dituduh melepaskan bahan kimia ke dalam perairan daratan.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan berhampiran Jalan Kampung Orang Asli, Kuang.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen Seksyen 25(3), Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 yang dibaca bersama Seksyen 25(1), akta sama.
Menurut Wan Abdul Latiff, sabit kesalahan tertuduh hendaklah dipenjara mandatori sehingga lima tahun dan boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta.
“Bagaimanapun Hakim Nor Rajiah tidak membenarkan permohonan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 10 September sebagai pengurusan kes bagi serahan dokumen,” katanya.
Tambahnya prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bersama Timbalan Pendakwa Raya JAS Nurliyana Binti R. Azmi. Sementara tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Karpal Singh & Co.
Terdahulu, gangguan air tidak berjadual dilaporkan menjejaskan lebih tiga juta pengguna berlaku selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas akibat pencemaran di kesan di muka sauknya.
Gangguan tersebut berlaku hampir lima hari di sebahagian besar negeri ini serta Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff menegaskan, pihak industri tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) boleh dikenakan kepada sesiapa yang melakukan pencemaran alam sekitar.
“AKAS 1974 yang dipinda dan berkuatkuasa pada 7 Julai 2024 memberi keutamaan kepada pindaan hukuman, denda dan penalti di mana melibatkan julat kadar denda antara RM5,000 hingga RM10 juta, selain penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.
“Selain itu, kadar kompaun juga ditingkatkan daripada maksimum RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan,” jelasnya.
Katanya lagi, JAS komited dalam menangani sebarang isu berhubung pencemaran dan menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. – UTUSAN










