SHAH ALAM: Polis dimohon segera mengesan suspek yang menikam dua wanita termasuk seorang guru besar sebuah sekolah agama di Kelana Jaya dalam satu kejadian dekat tandas surau berhampiran, semalam.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah dalam satu kenyataan berkata, beliau mengutuk tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai kejam dan melanggar undang-undang.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melanggar undang-undang, tidak bertamadun dan biadap oleh seorang penjenayah yang mencederakan seorang gadis dan ustazah dengan sebilah pisau petang tadi di Surau Ehsaniah SS 5A, Kelana Jaya.
“Selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, dan exco kerajaan negeri serta Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), saya memohon bantuan PDRM agar segera memburu penjenayah itu dan memaksimumkan segala bentuk tindakan undang-undang yang boleh dikenakan sekiranya didapati bersalah,” katanya.
Jelasnya, rumah ibadat dan sekolah wajib menjadi tempat yang selamat untuk setiap rakyat.
“Tindakan biadap dan intimidasi seperti ini hanya wajar dibalas oleh suatu respon yang segera, keras dan tegas oleh semua pihak berkuasa yang terlibat.
“Saya mendoakan agar mangsa diberikan afiyah dan kesembuhan segera dan agar
PDRM segera menangkap penjenayah biadap itu,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mohammad Fahmi turut berharap agar orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar segera melaporkan kepada polis.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan dua wanita termasuk jurujual telefon bimbit berusia 26 tahun cedera diserang lelaki bersenjatakan pisau ‘rambo’ dalam kejadian berkenaan.
Malah dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 tengah hari itu, mangsa pertama dikatakan mahu mengambil wuduk untuk menunaikan solat sebelum menjerit meminta tolong selepas diserang suspek bersenjatakan pisau ‘rambo’.
Jeritan itu didengari guru besar di sekolah agama berhampiran yang turut ditikam selepas cuba membantu mangsa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar yang mengesahkan kejadian itu berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










