BANGKOK: Pelanggan di sebuah kedai serbaneka di Thailand terkejut selepas melihat seekor biawak sepanjang enam kaki atau 1.8 meter menyerbu premis itu dan memanjat rak untuk mencari makanan.
Lapor Daily Mail, biawak gergasi itu mencetuskan panik selepas haiwan itu keluar dari terusan berhampiran dan menyerbu kedai 7-Eleven di Nakhon Pathom, semalam.
Pekerja dan pelanggan bersembunyi di belakang kaunter ketika haiwan itu menyerbu ke dalam kedai tersebut dan melemparkan makanan serta minuman ke lantai.
Seorang pekerja menghubungi polis yang kemudian tiba bersama pengendali reptilia itu untuk menangkapnya.
Sebuah video yang dirakamkan menunjukkan biawak itu memanjat rak barang di premis tersebut sambil disaksikan oleh pelanggan yang ketakutan.
“Saya hanya datang ke kedai ini untuk membeli beberapa barang makanan tetapi terkejut selepas melihat biawak besar di dalamnya. Saya mahu beli minuman tetapi haiwan itu terlalu dekat dengan rak tersebut.
“Haiwan itu amat berbahaya terutamanya ketika marah, jadi saya hanya mampu berdiri di sini dan merakam video,” kata seorang pelanggan, Narumpa Tangsin.
Pasukan penyelamat kemudian tiba di kedai yang terletak di pinggir Bangkok itu dan menyeret keluar haiwan berkenaan sebelum membawanya ke kawasan berhampiran.










