IPOH: Tiga lelaki yang diburu selepas membaling bom petrol di sebuah rumah di Bercham dekat sini, berjaya diberkas polis semalam.
Tangkapan terhadap suspek berusia 26, 27 dan 30 tahun itu dijalankan pegawai dan anggota dari Bahagian D8 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, ketiga-tiga lelaki warga tempatan itu ditangkap di Pasir Gudang, Johor antara pukul 11 pagi hingga 1.40 petang.
Katanya, kesemua suspek berkenaan berjaya ditangkap kurang 24 jam selepas diupah melakukan perbuatan khianat itu.
“Polis daerah Ipoh menerima laporan dibuat pemilik rumah pada pukul 9.17 malam kelmarin (Selasa) yang menyatakan rumahnya dibaling botol berisi minyak yang dinyalakan api.
“Berdasarkan siasatan, perbuatan itu dipercayai berpunca daripada kegiatan ah long dan kesemua suspek disyaki menerima upah RM1,000 bagi tujuan menakutkan peminjam,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine selain memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.
Katanya, kesemua suspek direman selama lima hari bermula hari ini sehingga Isnin depan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dengan api.
“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.
“Dengan tertangkapnya tiga suspek itu, kita percaya telah dapat menyelesaikan beberapa kes khianat dengan api yang berlaku di sekitar daerah ini,” ujarnya.
Sementara itu, Azizi menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan mengelak daripada membuat pinjaman melalui perkhidmatan pinjaman tidak berlesen dan tidak sah. – UTUSAN










