Kenyataan Ambiga pandangan peribadi, banyak reform yang telah dibuat - Johari - Utusan Malaysia

Kenyataan Ambiga pandangan peribadi, banyak reform yang telah dibuat – Johari

JOHARI Abdul (kiri) ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kompleks DUN Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kenyataan bekas Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Ambiga Sreenevasan yang mengecam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kerajaan paling diktator hanyalah merupakan pandangan peribadi.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau tidak mahu memberi komen lanjut berhubung dakwaan tersebut memandangkan mempunyai unsur-unsur politik.

Kata beliau, sebenarnya, terdapat banyak reformasi telah dilakukan kerajaan hari ini khususnya di Dewan Rakyat antaranya dengan memperkasakan Jawatankuasa Pilihan Khas.

“Kedua kita juga telah mempunyai kamar khas di samping turut merakyatkan institusi Parlimen.

“Banyak yang telah kita buat malah daripada masa ke semasa juga terdapat beberapa beberapa cadangan reformasi lain dilaksanakan termasuk membahaskan laporan-laporan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Johari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ambiga yang menyatakan bahawa pentadbiran Anwar merupakan kerajaan paling diktator.

Hal ini adalah berikutan kerajaan tidak memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, sebaliknya memperkenalkan pelesenan baharu untuk media sosial.

Dalam pada itu, Johari berkata, terdapat beberapa reformasi lain turut dilakukan dalam institusi Parlimen antaranya dengan melaksanakan sesi penerangan menteri.

“Semua ini adalah reformasi yang kita buat malah saya juga cuba memastikan ahli Parlimen tidak mengambil masa bercakap tentang politik dan hanya berbahas tentang perkara sewajarnya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×