KANGAR: Sebilangan ahli Parlimen yang tidak menghadiri sesi persidangan Dewan Rakyat namun bertindak memberi hujah di media sosial secara sesuka hati akan dikenakan tindakan mengikut akta berkaitan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pihaknya sedang memantau perkara tersebut memandangkan terdapat sebilangan ahli Parlimen yang dikenalpasti tidak menghadiri sesi persidangan Dewan Rakyat.
Namun, katanya, yang mengecewakan, mereka memberi ulasan di media sosial seolah-olah berada di Dewan Rakyat bagi membahaskan sesuatu isu dibangkitkan tersebut
Kata Johari, pihaknya kecewa dengan perkembangan seperti itu memandangkan tindakan berkenaan dapat menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat.
“Saya tahu ada ahli Parlimen masa perbahasan isu tertentu dia tak ada tapi dia ulas macam seolah berada di Dewan Rakyat dan cakap mengenai isu itu.
“Mereka (ahli Parlimen) mesti bertanggungjawab untuk berada dalam dewan untuk berbahas atau pun mohon untuk mencelah.
“Saya tak nak kita digunakan sebagai medan untuk tujuan politik sebab Dewan Rakyat ialah untuk rakyat dan bukannya politik,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Menerusi lawatan itu, Johari mengadakan pertemuan bersama Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan bagi mendapatkan maklumat dan berbincang mengenai beberapa perkara yang akan dibawa pada Persidangan Speaker-Speaker seluruh Malaysia pada 11 hingga 14 September depan di Sarawak.
Mengulas lanjut, Johari berkata, perkara berkaitan peruntukan atau token khas buat Speaker juga akan turut dibawa sewaktu persidangan itu dalam memantapkan usaha merakyatkan institusi legislatif di negara ini.
“Dalam usaha merakyatkan institusi ini, adalah penting agar Speaker diberikan satu token khas bagi memudahkan perjalanan sesuatu program seperti lawatan institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.
“Kehadiran pelawat ke DUN semestinya memerlukan kos seperti jamuan makan dan sebagainya, ia secara tidak langsung akan memberi imej yang baik kepada DUN dalam usaha merakyatkan institusi ini,” katanya.-UTUSAN










