JOHOR BAHRU: Polis negeri ini berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terlibat membungkus dan mengedar dadah dalam serbuan berasingan pada Sabtu lalu dan petang semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihak turut merampas pelbagai jenis dadah lebih 20 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM3.44 juta.
Menurutnya, hasil maklumat dan risikan dijalankan, pihaknya menahan suspek pertama, iaitu lelaki berusia 33 tahun kira-kira pukul 9 pagi di tepi Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini Sabtu lalu dan menemukan sejumlah dadah sebelum berjaya membongkar aktiviti pengedarannya.
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menjadikan kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta di sebuah apartmen sebagai tempat penyimpanan dadah bagi mengaburi mata pihak polis sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati dadah yang dirampas itu dalam pelbagai bentuk seperti serbuk, jus minuman, pil dan jeli yang telah dicampur dengan ekstasi, ia adalah yang pertama dikesan di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis merampas serbuk ekstasi seberat 18.6 kg, 115 botol jus minuman bercampur dadah (47.90 liter), 55 bekas jeli disyaki campuran ekstasi (1.6 kg), 17 paket ketamin (24 gram), 35 biji pil ekstasi (15.2 gram) dan 50 biji pil eramin 5 (13.6 gram) yang bernilai RM3.44 juta serta merampas sebuah kereta, dua motosikal dan wang tunai RM160.
Kumar memberitahu, sindiket itu dipercayai mengadun dadah tersebut dalam bentuk jeli sebelum dijual kepada pelanggan yang telah dikenal pasti pada harga RM150 hingga RM200, manakala jus minuman bercampur dadah itu bernilai antara RM200 hingga RM450.
“Sindiket juga menjual secara kombo jeli dan cecair dadah dengan harga RM480. Sindiket ini turut menggunakan botol air minuman berperisa yang terkenal dalam pasaran untuk campuran dadah bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya sambil memaklumkan penahanan lelaki itu membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek lelaki berusia 36 tahun di sebuah rumah di sekitar Tangkak kira-kira pukul 1.30 petang, semalam.
Suspek kedua itu adalah rakan kongsi lelaki itu bagi melakukan kegiatan pengedaran dadah yang aktif sejak Jun lalu.
“Hasil saringan urin terhadap kedua suspek negatif dari sebarang dadah. Semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah, katanya sambil memberitahu kedua-dua suspek direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










