Blok Islam tuduh Israel bunuh Ismail Haniyeh - Utusan Malaysia

Blok Islam tuduh Israel bunuh Ismail Haniyeh

ISMAIL HANIYEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menuduh Israel melakukan serangan yang membunuh Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, minggu lalu di Iran.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat luar biasa blok 57 negara anggota itu pada Rabu di Arab Saudi, OIC berpendapat, Israel selaku kuasa penjajah yang tidak sah, bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan kejam ini yang juga pelanggaran serius kedaulatan Iran.

Menteri Luar Gambia, Mamadou Tangara, yang negaranya mempengerusikan OIC berkata, pembunuhan kejam Ismail dan perang berterusan di Gaza juga boleh membawa kepada konflik serantau.

“Pencerobohan dan pencabulan kedaulatan dan integriti wilayah Iran dengan pembunuhan seorang pemimpin politik di buminya adalah satu tindakan yang tidak boleh dilihat secara berasingan.

“Perbuatan kejam ini hanya meningkatkan ketegangan sedia ada yang berpotensi membawa kepada konflik yang lebih luas yang boleh melibatkan seluruh wilayah,” katanya.

Iran dan Palestin menggesa mesyuarat OIC di Jeddah, Arab Saudi itu diadakan dan blok itu menggambarkan kesatuan terbabit sebagai suara menyeluruh dunia Islam.

Tuan rumah, Arab Saudi juga berkata, pembunuhan Haniyeh dengan jelas memperlihatkan pelanggaran terang-terangan kedaulatan Iran.

Timbalan Menteri Luarnya, Waleed al-Khereiji berkata, Arab Saudi menolak sebarang pencabulan kedaulatan negara atau campur tangan dalam hal ehwal dalaman mana-mana negara.

Sebelum ini, Hamas dan Iran menyalahkan Israel atas pembunuhan Hanieyh di Tehran minggu lalu, namun, kerajaan Israel tidak mengesahkan atau menafikan bertanggungjawab.

Iran telah berjanji untuk membalas, mengancam ‘hukuman keras’ ke atas Israel, namun Amerika Syarikat (AS) dan negara Barat lain menggesa ketegangan dredakan.

Pada Rabu, jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata, beberapa negara anggota OIC bersetuju dengan Washington bahawa peningkatan ketegangan hanya akan memburukkan lagi krisis yang berterusan di rantau ini.

“Kami berharap pada mesyuarat OIC itu, perkara yang sama berlaku seperti yang telah kami cuba laksanakan sepanjang minggu lalu iaitu semua pihak yang mempunyai hubungan dengan Iran memberi tekanan kepada Iran.

“Langkah ini adalah sama dengan apa yang kami tekankan kepada kerajaan Israel – bahawa mereka tidak seharusnya mengambil sebarang langkah untuk meningkatkan konflik,” katanya.

Tambah beliau, peningkatan serantau boleh menjejaskan prospek perjanjian gencatan senjata di Gaza. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×