KUANTAN: UMNO Pahang mendesak kerajaan Malaysia menggunakan semua saluran diplomatik, undang-undang dan jaringan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan 12 rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza segera dibebaskan.
Dalam kenyataannya, UMNO Pahang turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk terus memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan segala bentuk tindakan zalim, bukan sahaja terhadap aktivis kemanusiaan tetapi juga terhadap rakyat Palestin.
“UMNO Pahang menyatakan sokongan padu kepada keluarga mangsa yang kini menanggung kerisauan. UMNO Pahang berdiri bersama mereka, dan bersama seluruh rakyat Malaysia dalam semangat solidariti,” kata UMNO Pahang dalam kenyataannya di sini sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, UMNO negeri merakamkan rasa kesal, marah dan kebimbangan mendalam terhadap penahanan 12 rakyat Malaysia oleh rejim Israel.
“Misi ini adalah misi kemanusiaan, bukan misi ketenteraan. Mereka ke sana dengan niat murni membawa bantuan, harapan dan solidariti kepada rakyat Palestin yang sekian lama ditindas.
“Penahanan ini jelas menunjukkan sikap angkuh dan tidak berperikemanusiaan rejim Israel, yang semakin hari semakin melampau dalam mencabul undang-undang antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, UMNO Pahang percaya, keberanian dan pengorbanan rakyat Malaysia yang ditahan ini akan terus menjadi simbol bahawa suara keadilan tidak akan pernah dapat dibungkam oleh kekejaman.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan keselamatan mereka, sambil memperkukuh solidariti bersama rakyat Palestin yang masih berjuang mendapatkan hak mereka yang sah,” kata kenyataan itu. – UTUSAN










