HDC, ICTCC jalin kerjasama strategik perkukuh industri halal

HDC, ICTCC jalin kerjasama strategik perkukuh industri halal

HAIROL Ariffein Sahari (kiri) menerima dokumen kerjasama strategik daripada Suhaidi (tengah), baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Halal Development Corporation (HDC) menjalin kerjasama strategik bersama International Cultural Trade Collaboration Centre (ICTCC) bagi memperkukuh industri halal di negara ini.

Pengerusi ICTCC, Datuk Suhaidi Sulaiman berkata, dengan adanya kerjasama itu juga akan menyediakan pelbagai akses bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengembangkan perniagaan di peringkat antarabangsa.

Katanya, kerjasama itu  juga sekaligus bakal memanfaatkan 300 syarikat PKS bagi menembusi pasaran halal di China, di samping membuka peluang meneroka pasaran yang lebih meluas.

“Kita akan menyediakan PKS dengan akses  ekosistem pasaran digital, ruang simpanan gudang bebas cukai, peluang pembiayaan perniagaan.

“Di samping itu, kita juga akan membuka peluang  padanan perniagaan serta peluang-peluang lain di pasaran China dan lain-lain negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

ICTCC merupakan inisiatif korporat swasta yang ditubuhkan melalui beberapa entiti perniagaan dan pertubuhan melibatkan Syarikat Cangkat Cendana Group Sdn. Bhd. Topwork Global (M) Sdn. Bhd., Persatuan Muafakat One Belt One Road dan Global Networks (Beijing) IIC Services Co. Ltd. 

Sempena pengumuman kolaborasi strategik tersebut, ICTCC turut menyerahkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada HDC sebagai rakan strategik Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, September ini.

Dalam pada itu,  Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, pihaknya kini berusaha sebaik mungkin meningkatkan jumlah syarikat PKS berstatus halal dalam meningkatkan aktiviti eksport ke negara luar.

“China sememangnya merupakan destinasi eksport produk halal yang utama iaitu RM6.25 bilion atau bersamaan 11.6 peratus  daripada RM54 billion eksport halal negara pada tahun 2023. 

“Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta HDC sentiasa berusaha meningkatkan jumlah PKS berstatus halal yang berupaya mengeksport (produk)  ke negara yang mempunyai jumlah penduduk Muslim yang tinggi, menerusi pelbagai platform seperti akses pembiayaan, pasaran, latian, perundingan dan pemasaran digital,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×