Ayuh, kuasai kecerdasan emosi remaja

Ayuh, kuasai kecerdasan emosi remaja

REMAJA lebih memilih tingkah laku yang terbaik sekiranya didedahkan dengan penguasaan kemahiran kecerdasan emosi bagi meningkatkan kesejahteraan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TIDAK boleh dinafikan kadangkala apabila remaja berdepan dengan cabaran hidup, mereka berpotensi memilih apa sahaja tingkah laku yang dianggap sesuai pada kaca mata. Namun teknik psikologi berasaskan bukti di lihat mampu memberi bantuan.

Kecerdasan emosi (EQ) ialah keupayaan untuk mengenali, memahami dan mengurus emosi diri sendiri dan orang lain. Ia memainkan peranan penting dalam kehidupan peribadi dan profesional. EQ yang mampu dikuasai remaja dapat mempengaruhi kualiti perhubungan, membuat keputusan dan kejayaan secara komphensif.

Manakala bagi remaja yang mempunyai EQ rendah dikatakan sering mempamerkan tingkah laku atau ciri- ciri tertentu tanpa menyedari kesannya terhadap orang yang berada sekelilingnya.

Berikut dikongsikan beberapa tingkah laku yang sering ditunjukkan:

Kelemahan menguasai kemahiran mendengar secara aktif
Mendengar secara aktif adalah komponen penting dalam komunikasi berkesan. Kemahiran ini merupakan salah satu tanda kecerdasan emosi yang tinggi. Orang yang mempunyai EQ rendah sering bergelut untuk mendengar, kerap mengganggu orang lain, tidak memberi perhatian atau lebih menumpukan pada pemikiran dan respons mereka sahaja.

Tingkah laku ini boleh membuatkan orang lain berasa tidak didengari dan tidak dihargai serta membantutkan proses perhubungan. Proses perhubungan seringkali tidak dapat lari dari lingkungan peribadi dan juga perhubungan professional.

Kurang kesedaran diri
Menurut pakar psikologi, individu dengan EQ rendah gagal mengenali bagaimana tindakan dan perkataan mampu mempengaruhi orang di sekeliling. Kesedaran diri yang lemah boleh menyebabkan salah faham, konflik dan membuat keputusan yang lemah.

Kurang empati
Kekurangan sifat empati boleh menyebabkan ketidakpekaan, salah faham, kesukaran membina hubungan yang kukuh dan menyokong. Bagi bidang profesional, kekurangan empati boleh menghalang kerja berpasukan dan kerjasama apabila remaja memasuki arena pekerjaan.
Kesukaran mengurus emosi

Orang yang mempunyai EQ rendah kerap mengalami ledakan emosi, perubahan mood atau kesukaran mengawal reaksi mereka. Ini boleh menyebabkan perhubungan yang tegang, membuat keputusan yang impulsif dan meningkatkan tahap tekanan peribadi dan profesional.

Hal ini menunjukkan bahawa wujud keperluan kesedaran dan pengetahuan baharu khususnya bagi meningkatkan kemahiran penguasaan diri remaja melalui kestabilan emosi di Malaysia.

Lebih menarik lagi, remaja akan lebih memilih tingkah laku yang terbaik sekiranya didedahkan dengan penguasaan kemahiran kecerdasan emosi bagi meningkatkan kesejahteraan negara yang akan terus kekal berkembang seiring dengan perkembangan global.-UTUSAN

DR. NOR AS IKHIN ISHAK
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×