Mahkamah Tinggi tetapkan 5 September dengar permohonan jaminan DSP Nazri - Utusan Malaysia

Mahkamah Tinggi tetapkan 5 September dengar permohonan jaminan DSP Nazri

MOHD. Nazri Abdul Razak (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh bagi pengurusan kes bunuh membabitkan seorang pelajar lelaki tingkatan lima Disember lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 5 September depan sebagai tarikh pendengaran permohonan jaminan terhadap Deputi Superintenden, Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, yang didakwa atas pertuduhan membunuh pelajar lelaki tingkatan lima, Disember tahun lalu.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti hujahan daripada pasukan peguam bela.

Sehubungan itu, mereka memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi pendengaran permohonan berkenaan.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan telah memfailkan penghujahan bertulis masing-masing pada Rabu seperti diarahkan mahkamah.

Bhupindar Singh kemudian membenarkan pihak pendakwaan membalas hujahan yang difailkan dan memberi tempoh dua minggu untuk memfailkan hujahan balas tersebut.

Selain Afzainizam, pihak pendakwaan turut diwakili Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili Peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M. Kuhan.

Hadir sama, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Amira Najwafitri Amir Arif.

Di luar mahkamah, Jacky Loi berkata, pihaknya memohon kepada mahkamah agar satu tarikh awal ditetapkan bagi pendengaran tersebut sebagai keadilan kepada tertuduh.

“Kita minta kalau boleh diawalkan kerana ini adalah satu permohonan jaminan, tambahan pula tarikh perbicaraan pun telah ditetapkan bermula November depan.

“Sekiranya isu jaminan ini tidak diputuskan dengan secepatnya, tidak adil dari segi hak asasi tertuduh,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.

Pertuduhan terhadap tertuduh dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×