WASHINGTON: Tiga tertuduh yang didakwa merancang serangan keganasan 11 September 2001 akan membuat pengakuan bersalah sebagai pertukaran untuk mengelak hukuman mati.
New York Times (NYT) melaporkan, pengakuan oleh Khalid Sheikh, Walid Attash dan Mustafa al-Hawsawi itu membolehkan mereka menjalani hukuman penjara seumur hidup, dalam satu perjanjian pra-perbicaraan didedahkan ketua pendakwa Jabatan Pertahanan, Laksamana Muda, Aaron Rugh.
“Sebagai pertukaran kepada hukuman mati, ketiga-tiga tertuduh telah bersetuju untuk mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan termasuk pembunuhan 2,976 nyawa,” jelas Rugh dalam surat dihantar kepada keluarga mangsa yang terkorban.
Laporan NYT menyatakan, tertuduh secara rasmi akan mengemukakan rayuan tersebut ke mahkamah minggu depan.
Semua tertuduh ditahan di Pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), Teluk Guantanamo, Cuba selama 23 tahun tanpa perbicaraan.
Perkembangan terbaharu itu bagaimanapun mendapat reaksi berbeza daripada keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan 11 September 2001, sebahagian daripada mereka mahu tertuduh dikenakan hukuman mati.
Seorang lelaki, Jim Smith, yang kematian isteri dalam tragedi itu berkata, keluarga mangsa menunggu selama berpuluh tahun untuk mendapatkan keadilan, jadi wajar untuk tertuduh menerima hukuman paling berat.
Kebanyakan pertikaian undang-undang membabitkan kes itu tertumpu kepada sama ada mereka boleh dibicarakan secara adil selepas diseksa oleh Agensi Risikan Pusat (CIA) selama bertahun-tahun selepas serangan berkenaan.- AGENSI










