KUALA LUMPUR: Halogen Capital, pengurus dana aset digital berlesen pertama Malaysia, memperkenalkan dana mata wang kripto patuh syariah pertama di dunia.
Pengenalan itu memberi kuasa kepada pelabur seperti individu yang bernilai tinggi dan pelabur institusi yang mencari strategi tersuai untuk menerokai pasaran aset digital yang sedang berkembang dan kini mempunyai paras pasaran kira-kira RM11 trilion melalui struktur amanah saham biasa.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halogen Capital, Liew Ooi Hann berkata, Halogen Capital telah melepasi RM100 juta dalam aset di bawah pengurusan (AUM) daripada lebih 800 pelanggan pada tahun pertama melalui empat dana dan mandat persendiannya.
“Ini menandakan pencapaian yang luar biasa dan mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam industri kami.
“Memandang ke hadapan, matlamat kami adalah untuk membina momentum ini dan mencapai RM1 bilion AUM dalam tempoh dua tahun akan datang dan menjadi peneraju global bagi aset digital patuh syariah,” katanya ketika Majlis Pelancaran Halogen 2024, di sini hari ini.
Jelas beliau, dana patuh syariah itu diselia oleh penasihat syariah terkemuka seperti Amanie Advisors dan Tawafuq Consultancy yang mewakili usaha perintis dalam landskap pelaburan aset digital, menawarkan produk mematuhi prinsip kewangan Islam.
“Sejak Julai 2023, kami melancarkan empat dana perdana mata wang kripto patuh syariah pertama di dunia disahkan oleh Amanie Advisors iaitu Dana Bitcoin Syariah Halogen (HSBTCF), Dana Halogen Shariah Ethereum (HSETHF) Dana Etheruem (ETH), Halogen Shariah Crypto Titans Fund (HSCTF) dan Dana Halogen Shariah Ringgit Income (HSRIF).
“Halogen Capital kini menyediakan produk pelaburan mata wang kripto untuk pengedaran melalui penasihat unit amanah institusi (IUTA), penasihat kewangan dan perancang kewangan.
“Ia juga mempunyai lebih 20 perkongsian pengedaran sedemikian yang ditandatangani memberikan liputan di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Perniagaan Halogen Capital, Lucas Ooi berkata, pengenalan itu sangat menggalakkan untuk melihat permintaan dan kepercayaan institusi yang semakin meningkat terhadap syarikat menguruskan dana mereka.
“Ini terutamanya melalui rakan pengedaran kami seperti Kenanga Investors, AHAM Capital, UOB Kay Hian, Phillip Mutual Berhad, Wealth Vantage Advisory, Bill Morrisons Wealth Management, Yes Financial Berhad, Alpine Advisory dan lain-lain,” katanya.
Firma itu telah berjaya mengumpul AS$1.25 juta (kira-kira RM5.75 juta) daripada pelabur terkenal seperti 500 Global, DCG Expeditions, Khazanah Nasional melalui Penjana Kapital, dan The Hive Southeast Asia.-UTUSAN










