PETALING JAYA: Agensi media yang sah dan berdaftar tidak perlu meminta kebenaran untuk menggunakan logo Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak 2024 dalam penerbitan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, larangan penggunaan logo itu hanya untuk mereka mengeluarkan produk dagangan seperti cawan, kemeja T, payung dan sebagainya.
Justeru, beliau menambah, Pihak Berkuasa Multimedia (SMA) hanya mewajibkan mereka yang mengaut keuntungan menjual barangan cendera hati supaya memohon kebenaran termasuk maskot SUKMA XXI.
“Saya tidak nampak keperluan media untuk meminta kebenaran kerana kita (kerajaan Sarawak) pun suka media mempromosikan Sukma XXI dengan meletakkan logo pada penerbitan mereka.
“Selagi media itu berdaftar sebagai media sah, mereka boleh menggunakan logo Sukma XXI dalam laporan berita,” katanya.
Terdahulu, SMA melaung amaran terhadap mana-mana individu atau entiti termasuk media yang menggunakan logo dan maskot SUKMA XXI tanpa kebenaran.
Pengurus SMA, Datuk Dr Anderson Tiong Ing Hing berkata logo dan maskot itu perlu didaftarkan mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332).
Menurut beliau, mengikut Seksyen 10 (1)(i) Ordinan Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak 2017 pula, SMA didaftarkan sebagai pemilik sah logo dan maskot itu. – UTUSAN










