PUTRAJAYA: Perenang lelaki negara, Muhammad Dhuha Zulfikry menungguli carta penerima imbuhan terbanyak pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan SUKMA Sarawak Kontinjen Wilayah Persekutuan, hari ini.
Atlet berusia 16 tahun itu, berjaya membawa pulang sebanyak RM41,000 selepas mengutip enam emas dan dua perak pada temasya edisi ke-21 berkenaan.
“Saya rasa amat bangga dengan pencapaian saya dan gembira insentif paling terbanyak di Wilayah Persekutuan. Saya harap edisi SUKMA seterusnya akan kekal menjadi juara.
“Saya akan simpan (wang insentif) ini untuk masa depan saya,” kata Dhuha kepada pemberita selepas majlis penyampaian berkenaan, di sini, hari ini.
Turut berada di puncak insentif terbanyak, sukan renang memperoleh RM200,100 selepas berjaya memungut 16 pingat emas, lapan perak dan tujuh gangsa.
Selepas memecahkan empat rekod SUKMA, Dhuha muncul sebagai Atlet Lelaki Terbaik SUKMA Sarawak 2024 Kontinjen Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, pemain beregu lelaki No. 1 negara, Soh Wooi Yik berjaya membawa pulang sebanyak RM50,000 selepas kejayaannya memungut gangsa bersama Aaron Chia pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Majlis penyampaian insentif terbabit disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
“Tahniah kepada semua atlet yang begitu bersemangat. Pungutan pingat emas melepasi sasaran.
“Wilayah Persekutuan memang hebat memberi saingan sengit pada temasya itu,” kata Zaliha pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan SUKMA Sarawak Kontinjen Wilayah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.
Pemberian bonus tersebut berdasarkan percapaian cemerlang kontinjen yang menduduki tempat kedua mengatasi sasaran 70 pingat emas.
Untuk rekod, kontinjen Wilayah Persekutuan berjaya mengutip sebanyak 75 pingat emas, 65 perak dan 73 gangsa pada SUKMA Sarawak 2024. – UTUSAN