JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menyelar tindakan syarikat pengurusan hartanah yang bersikap lepas tangan apabila tidak menyelenggara Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena sebelum ia digunakan bagi penganjuran Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ).
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, pihak terbabit perlu mengambil kira aspek keselamatan peserta kerana kemudahan itu turut dibuka untuk orang ramai.
Katanya, sekiranya kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan dilakukan seperti yang dijanjikan, tidak mungkin kehadiran bakteria E-coli dikesan di beberapa lokasi termasuk di kolam terjun dan kolam renang.
“Sering kali saya turun ke sana untuk melihat kemajuan kerja dan bertanyakan berkaitan status di lokasi, kondisi infrastruktur dan kualiti air di pusat akuatik itu. Namun, apakan daya apabila kita mengharapkan sesuatu pihak itu buat perkara tersebut, tapi malangnya berlaku ketirisan malah tidak bersedia untuk anjurkan sesuatu acara,” katanya.
Ahad lalu, media melaporkan seramai 19 peserta yang terdiri daripada pelajar yang mengambil bahagian dalam kejohanan baru-baru ini dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah, demam dan gatal kulit dipercayai air di pusat itu dicemari bakteria E-Coli.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang melawat pusat tersebut tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan fasiliti berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, pihak yang bertanggungjawab harus menjadi insiden itu sebagai iktibar untuk memastikan kejadian itu tidak berulang.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, premis berkenaan walaupun mempunyai nama MBJB, namun masih belum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
“Memang kolam renang itu nama Pusat Akuatik MBJB tetapi ia belum diserahkan kepada kami. Sekarang ini masih diuruskan Damansara Asset yang telah melantik kontraktor bertanggungjawab untuk mengurus dan menyelenggara premis itu.
“Pusat Akuatik ini dibina untuk Sukan Malaysia (Sukma) Johor pada 2020, tetapi temasya itu tertangguh akibat pandemik Covid-19, kemudian tidak digunakan bagi beberapa tempoh lama dan keadaan itu mungkin menyebabkan berlaku kerosakan serta kurang penyelenggaraan,” katanya ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini semalam.
Sehubungan itu, Mohd. Noorazam berkata, pihaknya sudah mengeluarkan amaran keras kepada syarikat kontraktor dilantik supaya segera membaik pulih fasiliti itu.











