SEREMBAN: Puteri Noor Ashikin Abdullah, seorang lulusan universiti luar negara, sanggup mengorbankan masa depan demi menjaga dua orang adiknya termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) disleksia.
Puteri Noor Ashikin, 29, berkata, kehidupan mereka tiga beradik diuji apabila bapa mereka menghilangkan diri sejak kecil, manakala ibu meninggal dunia 10 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.
Kini Puteri Noor Ashikin menyewa di sebuat flat di Mantin di sini bersama adiknya, Putera Shahrul Qusyairi,13, yang menghidap disleksia dan Putera Amirul Rashidin, 17, yang telah ditempatkan di Darul Asnaf Sendayan.
“Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan dari Universiti Leeds Beckett United Kingdom iaitu program berkembar dengan Kolej Universiti Linton, Mantin.
“Saya pernah mendapat tawaran sebagai pegawai pentadbiran sebuah universiti swasta di Selangor tetapi terpaksa melupakan kerjaya itu kerana adik bongsu yang menghidap disleksia perlu dijaga sepanjang masa.
“Saya risau jika bekerja tiada orang boleh tengokkan adik yang memerlukan sokongan, badan dia kurang kuat, senang jatuh selain pada masa tertentu menjadi hiper (terlalu aktif),” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Mantin di sini baru-baru ini.
Bagi menampung perbelanjaan, Puteri Noor Ashikin memberikan perkhidmatan guru peribadi (home tutor) dengan menyediakan modul pembelajaran kepada anak-anak tadika hingga tingkatan lima di sekitar Nilai dan Mantin.
“Namun, pendapatan yang diperoleh kurang RM1,000 sebulan dan tidak cukup untuk kos belanja harian, selain rumah sewa telah tertunggak tiga bulan sebanyak RM1,500.
“Adik saya yang menghidap disleksia disarankan mengambil makanan berkhasiat seperti susu, vitamin dan buah-buahan, tetapi sekarang saya tak mampu kalau ada rezeki lebih memang saya akan sediakan,” katanya.
Putera Shahrul Qusyairi kini bersekolah di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin.
Lebih menyedihkan, dalam usia muda Puteri Noor Ashikin terpaksa memikul beban itu sendiri tetapi dia terus kuat kerana menjaga amanah arwah ibu supaya menjaga adik-adik sebaik mungkin.
“Selepas tamat belajar, saya pernah bekerja sebagai pegawai pentadbiran di sebuah kolej tetapi pengurusan institusi itu terpaksa ditutup akibat Covid-19 dan kemudian saya bekerja sebagai guru tadika sebelum membuka home tutor sendiri,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Puteri Noor Ashikin di nombor 011-12643718 atau menerusi nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0899529000336432.










