TEKNOLOGI digital mengubah kehidupan manusia sama ada pada aspek politik, ekonomi, pendidikan dan budaya.
Diakui bahawa teknologi digital yang membawa kemajuan turut mengubah gaya pemikiran masyarakat. Hal ini kerana masyarakat berupaya memperoleh maklumat dan pengetahuan daripada pelbagai saluran.
Masyarakat juga memiliki platform sendiri untuk berkongsi maklumat, memberikan komen, menyampaikan aduan dan teguran. Perkembangan ini turut memberikan kesan kepada guru atau cikgu hari ini.
Guru hari ini bukan guru zaman cikgu Murni atau cikgu Saari dalam filem P. Ramlee. Zaman kedua-dua cikgu itu yang apabila ditanya murid tentang apakah pekerjaan bapa, ramai menjawab bapa mereka seorang penoreh getah, pemandu teksi atau penarik beca.
Pada hari ini pula apabila ditanyakan murid tentang siapakah bapa mereka, jawapan yang akan diberikan ialah doktor, peguam, pensyarah atau sebagainya. Perbezaan ini menuntut guru hari ini untuk berubah dari aspek set minda, ilmu pengetahuan, kemahiran dan karakter. Ini disebabkan latar belakang ibu bapa murid itu sendiri membezakan murid antara zaman cikgu Murni dan cikgu Saari dengan cikgu hari ini.
Teknologi digital membuatkan guru bukanlah satu-satunya pusat ilmu dan kemahiran bagi seseorang murid. Murid boleh menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran menerusi sumber media sosial. Tidak hairan seseorang murid boleh berkomunikasi dalam bahasa Korea, sedangkan di sekolah tiada mata pelajaran dan guru bahasa berkenaan.
Murid tersebut belajar daripada aplikasi TikTok, Facebook dan sebagainya. Malah, ada murid yang mengambil tuisyen secara dalam talian bagi sesuatu subjek dengan gurunya berada jauh beribu batu dari tempat tinggal mereka. Oleh itu, sekali air bah, sekali pantai berubah. Guru hari ini mesti berubah sesuai dengan dunia yang berubah dengan pantas dalam pelbagai aspek kehidupan.
JANGKAAN MASA HADAPAN
Jika pada hari ini seseorang murid itu berada di tahun 1, bermakna selepas tingkatan 5, mereka memulakan kehidupan selepas alam persekolahan pada 2035. Mulai tahun tersebutlah, guru yang ada pada hari ini perlu membuat jangkaan tentang bentuk kehidupan 2035 dan seterusnya.
Jangkaan ini mesti berdasarkan maklumat teknologi, sosial, ekonomi yang dikeluarkan oleh laporan badan dunia. Hal ini penting kerana dengan jangkaan yang berdasarkan asas-asas itu dapat memberikan gambaran tentang kehidupan masa hadapan dan bentuk generasi yang perlu ada ketika itu. Susulan itu, guru perlu bijaksana dan kreatif mengadaptasi kurikulum yang ada, di samping elemen manusiawi serta nilai diri dalam membina generasi bagi mendepani cabaran kehidupan tahun-tahun mendatang itu.
GENERASI HARI INI SEBAGAI ACUAN
Kita acap kali menyebut untuk melihat sesuatu bangsa pada masa hadapan, lihatlah generasi mereka pada hari ini. Generasi pada hari ini bukan bermaksud melihat anak-anak kecil di sekeliling. Anak kecil itu tetap anak kecil dan masih mentah. Sebaliknya, generasi hari ini adalah generasi dewasa yang ada pada hari ini dan mereka mempunyai pendidikan, jawatan, pangkat dan keistimewaan lain.
Mereka ini perlu melunaskan tanggungjawab untuk membina generasi masa hadapan. Sekiranya mereka yang berpendidikan, berjawatan, berpangkat dan memiliki pelbagai keistimewaan itu dapat membina generasi masa hadapan dengan acuan yang cantik pada hari ini, cantiklah bangsanya pada masa hadapan.
Tahun 2035 dan seterusnya mempunyai landskap kehidupan yang pasti jauh berbeza berbanding pada hari ini. Masyarakat akan hidup bersama-sama sistem pengatucaraan dan teknologi robotik. Hari ini juga dapat dilihat restoran yang menggunakan robot sebagai peramu saji. Begitu juga ada sistem pengaturcaraan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh melakukan diagnosis penyakit seseorang dan memberikan preskripsi.
Senario ini bukan menidakkan sumbangan teknologi robotik dan sistem pengatucaraan serta AI dalam kemajuan kehidupan manusia tetapi kita juga perlu menginsafi bahawa ada cabaran di sebalik teknologi itu. Ini menunjukkan mereka yang cemerlang atau kurang cemerlang dalam pelajaran akan berlumba dengan teknologi untuk kelangsungan hidup.
Guru memang tidak boleh menidakkan kebaikan teknologi robotik, sistem pengatucaraan serta AI. Bagaimanapun, dalam mengakui hakikat tersebut, guru mesti mempunyai kesedaran akan cabaran hebat generasi masa hadapan.
Oleh itu, di samping memberikan ilmu pengetahuan dan kemahiran, guru perlu bersungguh-sungguh menyemai dan menanam nilai diri serta manusiawi seperti kecekalan, ketabahan, ihsan, adab, tidak berputus asa, kesungguhan, berfikiran rasional dan seumpamanya pada generasi kecil hari ini.
Hal ini amat penting bagi mengelakkan generasi kecil hari ini hidup dengan cabaran kesihatan mental pada masa hadapan yang mencetuskan gejala buruk yang lain. Justeru, guru mesti lebih bersifat ihsan dengan generasi untuk masa hadapan.
Murid yang ada dalam bilik darjah adalah golongan amat memerlukan sokongan dan bimbingan dari aspek ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai diri menerusi pendidikan manusiawi. Sekiranya guru gagal membangunkan murid dengan ilmu pengetahuan dan nilai diri, murid itu akan cenderung terperangkap dengan cabaran hidup di sebalik kemajuan teknologi.
Sabda Nabi SAW, iaitu “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah dalam kalangan kamu” (Riwayat Bukhari).
Siapakah orang lemah dalam kalangan guru? Tentunya mereka itu adalah murid-murid yang memerlukan sokongan dan bimbingan dalam bilik darjah. Oleh itu, guru hendaklah mempunyai nyala rasa yang membara bagi meletakkan iltizam dan amanah dalam membina generasi masa hadapan sebagai keutamaan agar golongan pewaris itu mampan mendepani kehidupan era digital.
Di sinilah punca rezeki guru diberkati dan kita direzekikan dengan generasi yang cemerlang pada masa hadapan.
Guru hendaklah melihat wajah anak murid dalam bilik darjah dengan kasih dan cinta kerana kehidupan masa hadapan mereka amat mencabar. Hal ini kerana kehidupan masa hadapan bersaing dengan robot, sistem pengaturcaraan dan AI.
Ini yang ditegaskan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa kemuncak pendidikan adalah cinta, iaitu guru cinta dan kasih kepada muridnya agar mereka sejahtera dalam kehidupan masa hadapan.
Kehidupan masa hadapan memperlihatkan pekerjaan hanya menerusi teknologi sistem dengan teknologi pengatucaraan. Oleh itu, lokasi bukan penghalang kerana mereka boleh bekerja dari mana-mana walaupun jaraknya beribu batu antara pekerja dengan majikan.
Ini bentuk survival generasi masa hadapan untuk kehidupan. Sekiranya guru tidak berupaya menanam nilai diri seperti belas kasihan, hormat-menghormati, tolong-menolong dan seumpamanya pada anak murid yang ada dalam bilik darjah sekarang, maka generasi masa hadapan akan menjadi golongan yang terlupa melihat saudara atau sahabat yang tidak berjaya dalam persaingan kehidupan menerusi teknologi sistem pengaturcaraan.
Kekhilafan guru akan melahirkan generasi yang beraja di mata, bersultan di hati. Keadaan ini tentu menggugat kesejahteraan kehidupan dan menghapus rasa hormat sesama manusia.
Justeru, guru mesti segera mampu membaca cabaran di sebalik teknologi itu agar nyala rasa guru menzahirkan ihsan terhadap generasi masa hadapan.
Guru hari ini hendaklah segera umpama ‘sekilas ikan di air telah ku tahu jantan betinanya’ dalam memahami cabaran yang akan dilalui oleh generasi pewaris pada era digital.
Ilmu pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi digital amat penting tetapi usaha menanam nilai diri dan manusiawi pada diri generasi pewaris tidak boleh diabaikan kerana mereka akan hidup dalam dunia yang berubah dengan pantas.-UTUSAN
DR. Mohd Azam Ahmad ialah Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).










