Kolam tercemar: Syarikat pengurusan jangan lepas tangan - Mohd. Hairi - Utusan Malaysia

Kolam tercemar: Syarikat pengurusan jangan lepas tangan – Mohd. Hairi

ONN HAFIZ Ghazi memeriksa keadaan kolam renang di Pusat Akuatik MBJB Arena, Larkin susulan kejadian 19 pelajar mengalami masalah kesihatan disyaki akibat tercemar dengan bakteria E-Coli, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menyelar tindakan syarikat pengurusan hartanah yang bersikap seperti lepas tangan apabila tidak menyelenggara Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena sebelum ia digunakan bagi penganjuran Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, pihak terbabit perlu mengambil kira aspek keselamatan peserta kerana kemudahan itu turut dibuka untuk kegunaan orang ramai.

Katanya, sekiranya kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan dilakukan seperti yang dijanjikan, tidak mungkin kehadiran bakteria E-coli dikesan di beberapa lokasi termasuk di kolam terjun dan kolam renang.

“Sering kali saya turun ke sana untuk melihat kemajuan kerja dan bertanyakan berkaitan status di lokasi, kondisi infrastruktur dan kualiti air di pusat akuatik itu. Namun, apakan daya apabila kita mengharapkan sesuatu pihak itu buat perkara tersebut, tapi malangnya berlaku ketirisan malah tidak bersedia dari segi untuk anjurkan sesuatu acara itu,” katanya.

Ahad lalu, media melaporkan seramai 19 peserta yang terdiri daripada pelajar yang mengambil bahagian dalam kejohanan baru-baru ini dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah, demam dan gatal kulit dipercayai air di pusat itu dicemari bakteria E-Coli.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang melawat pusat tersebut tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan fasiliti berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, pihak yang bertanggungjawab harus menjadi insiden itu sebagai  iktibar untuk memastikan kejadian itu tidak berulang.

Katanya, pengurusan venue sukan yang lain juga perlu mengambil maklum perkara itu bagi memastikan infrastruktur dalam keadaan baik sebelum membenarkan pihak lain menggunakan fasiliti termasuk bagi tujuan penganjuran kejohanan.

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan pusat akuatik itu dalam masa terdekat, saya dimaklumkan bahawa mereka akan membuat tindakan segera.

“Sebelum ini, permintaan mereka untuk membuka pusat akuatik itu kepada umum telah dibenarkan setelah berjanji nak naik taraf, lakukan pengubahsuaian dan sebagainya, namun apabila Menteri Besar membuat lawatan dua kali ke lokasi, keadaan masih sama tak seperti yang dijanjikan, seperti melepaskan batok di tangga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×