‘Hentikan polemik isu tajaan, dana syarikat minuman keras’

‘Hentikan polemik isu tajaan, dana syarikat minuman keras’

FADHLINA Sidek bercakap kepada pemberita dalam Majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di Seremban, Negeri Sembilan semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polemik berkaitan isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah vernakular yang menjadi kontroversi perlu dihentikan.

Menteri Pendidikan, Fadhli­na Sidek berkata, semua pihak perlu patuh kepada penegasan yang dibuat dalam mesyua­rat Jemaah Menteri dengan menge­kalkan garis panduan sedia ada.

“Saya fikir sudah cukup de­gan penegasan dibuat oleh mesyuarat Jemaah Menteri dan kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Jadi saya ingat kita sudah boleh hentikan polemik ini dan memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih penting dan lebih besar,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di sini semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Berangkat sama, Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan putera baginda Tunku Zaini Al-Abidin.

Jelas Fadhlina, keputusan me­syuarat Jemaah Menteri itu adalah yang terbaik untuk semua dan beliau berpendirian keputusan itu perlu dikekalkan.

“Saya tidak fikir ada apa-apa lagi lagi isu berbangkit dan saya ingat itulah penegasan yang te­lah dibuat berulang kali dan kita kekal dengan penegasan itu,” katanya.

Sebelum ini, isu sumbangan syarikat arak mencetuskan pertikaian susulan kehadiran seorang pemimpin politik dalam majlis amal di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Sepang, Selangor.

Situasi itu membawa kepada percanggahan beberapa panda­ngan dan pendapat khususnya yang membabitkan pemimpin parti politik, memaksa isu itu kemudian dirujuk dan dibincang­kan ke peringkat Kabinet.

Pada 26 Julai lalu, Jemaah Menteri bersetuju mengekalkan garis panduan sedia ada yang antara lain menggariskan akti­viti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×