Individu bergelar Datuk 'songlap' wang hampir RM20 juta - Utusan Malaysia

Individu bergelar Datuk ‘songlap’ wang hampir RM20 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan seorang ahli perniagaan terkenal bergelar Datuk telah memperdaya 53 orang pengadu yang mendakwa mengalami kerugian RM18.70 juta.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket penipuan dan pemerdayaan diketuai oleh individu terbabit menggunakan beberapa rangkaian syarikat.

“Konsep pelaburan yang ditawarkan oleh kesemua syarikat tersebut adalah menjanjikan satu pulangan dividen yang lumayan serta beberapa manfaat lain yang ditawarkan dan dijanjikan oleh pihak syarikat berkenaan kepada mereka.

“Skim pelaburan ini didalangi oleh individu yang telah menggunakan gelaran dimilikinya untuk mempengaruhi pelabur-pelabur dan orang ramai yang berminat untuk menyertai skim pelaburan ditawarkan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Megan Avenue 1, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, individu tersebut telah didenda sebanyak RM50 juta oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atas kesalahan Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001.

“Namun hukuman itu tidak setimpal ekoran telah melarikan puluhan juta ringgit duit deposit mangsa.

“Angka ini merupakan angka yang besar dan 80 peratus mangsanya terdiri daripada warga emas yang menggunakan wang persaraan mereka.

Jelas beliau, ‘Datuk’ itu mengumpul dan mengambil deposit daripada mangsa sehingga berjuta-juta ringgit dan ia tidak adil memandangkan mangsa menggunakan wang simpanan mereka.

Menurutnya, hasil maklumat daripada pengadu menyatakan bahawa individu itu masih memberikan harapan dan janji-janji kepada para pelabur bahawa pembayaran dividen dan wang pelaburan mereka itu akan dibayar seperti biasa setelah selesai kes syarikat itu didenda oleh BNM.

Mangsa penipuan, Rosman Zainuddin berkata, dia mendapat dividen hanya 10 bulan pertama sahaja sejak melabur dalam skim berkenaan sejak November 2021 dan kemudian tiada lagi khabar mengenainya.

“Masa depan kami sebagai pesara diragut oleh individu itu yang kini hidup dengan senang lenang. Hanya bayar denda RM50 juta, tetapi tiada tindakan lanjut yang setimpal dengan penderitaan kami,” katanya.

Jelasnya, perjanjian yang dikatakan patuh syariah merupakan satu tarikan kepada mangsa untuk menyertai skim pelaburan itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×