PADANG TERAP: Operasi pembenihan awan (OPA) dilakukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membolehkan penghasilan hujan berhampiran Empangan Muda di Sik hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan itu mendapati, sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat berlegar-legar di kawasan Tasik Gubir pada pukul 1.50 tengah hari tadi.
Pesawat itu mengelilingi tasik berkenaan yang menjadi sumber air kepada Empangan Muda selain turut berpusing di Tasik Pedu, di sini yang menyalurkan air kepada Empangan Pedu.
Seorang pengunjung Tasik Pedu, Nadia Farhana Mohd. Raznan, 37, berkata, dia dan suaminya, Mohamad Abdullah, 45, datang ke tasik itu untuk melihat keadaan empangan yang semakin kering.
“Dua minggu lepas saya sudah datang, terkejut tengok keadaan tasik bertambah surut, saya harap pembenihan awan hari ini berjaya walaupun ramai yang seronok lihat empangan kering tapi kita patut risau sebab empangan ini menakungkan air untuk pelbagai kegunaan.
“Saya lihat pesawat tadi berlegar-legar kira-kira 15 minit, cuaca hari ini pun nampak redup. Saya harap pembenihan awan ini berjaya dan menghasilkan hujan bagi membantu meningkatkan kembali paras air di empangan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusuf@Munir Zakaria turut menyertai operasi itu yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang.
Difahamkan, OPA hari ini menggunakan tiga tong air garam bagi tadahan Empangan Pedu dan Empangan Muda, manakala satu tong untuk Empangan Bukit Merah, Perak.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan melaksanakan OPA di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut.
Beliau berkata, operasi itu bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.
Sementara itu, beberapa kawasan di seluruh Kedah diramal akan mengalami hujan dan ribut petir yang berterusan sehingga 4 Ogos selepas tempoh kemarau yang panjang.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, cuaca dijangka hujan pada waktu pagi disusuli hujan dan ribut petir pada waktu petang di beberapa kawasan.
“Ribut petir dijangka berlaku pada waktu petang dan mungkin berterusan sehingga awal pagi terutama di utara dan pantai timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh ramalan,” katanya. -UTUSAN











