KENINGAU: Lembaga Koko Malaysia (LKM) perlu memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penyakit yang membantutkan pertumbuhan industri koko di negara ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, apabila ada R&D, maka tindakan segera dapat diambil dalam mengatasi penyakit berkaitan tanaman koko.
Sekiranya tiada pihak yang boleh menangani penyakit berkaitan tanaman koko, ia akan membuatkan petani mengalami kerugian seterusnya enggan meneruskan dan beralih kepada komoditi lain.
“Saya beritahu LKM untuk tumpukan perhatian kepada R&D serta penyakit-penyakit berkaitan tanaman koko. Apabila ada penyakit, kita mesti bertindak pantas untuk mengatasinya.
“Apabila kita dapat menyelesaikan masalah penyakit ini dengan cepat, maka kita akan untung tapi kalau tiada orang menyelesaikan masalah ini, maka dia (petani) akan rugi. Jadi, dia tak nak tanam dan kemudian beralih kepada tanaman lain.
“Kita tak nak keadaan begitu berlaku, kita nak dia kekal dalam industri koko dan ini sebabnya R&D penting untuk kita laksanakan,” katanya dalam majlis perasmian kursus teknologi pascatuai dan pemantapan kelompok serta perasmian mini pemprosesan koko Kampung Liau dekat sini, semalam.
Di samping itu, penggunaan teknologi dalam penanaman koko juga perlu dilakukan agar tenaga kerja sedia ada dapat dijimatkan dan digantikan dengan mesin.
Menurut Johari, pada masa ini Malaysia hanya mengeluarkan 500 tan metrik koko dan terpaksa mengimport 500,000 tan metrik setahun.
Beliau berkata, negara ini pernah mengeluarkan sehingga 300,000 tan metrik koko setahun, namun jumlah itu berkurang kepada 500 tan metrik susulan banyak penyakit yang menjejaskan penanaman koko.
Apabila koko diimport dari luar, maka harganya akan menjadi mahal kerana bergantung kepada nilai pasaran. Maka usaha perlu diambil bagi memperluaskan semula tanaman koko di negara ini.
“Kita import kira-kira RM7 bilion hingga RM8 bilion untuk gred koko berkualiti rendah dan RM12 bilion bagi gred berkualiti tinggi. Jadi, kita boleh kurangkan import dengan membantu petani menanam koko,” katanya. – UTUSAN











