BATU PAHAT: Seorang wanita merayu bantuan orang ramai untuk mengesan suaminya yang hilang dan gagal dihubungi sejak lima hari lalu selepas keluar dari rumah dipercayai ke tempat kerjanya di Parit Jawa, Muar.
Hasnah Hussin, 29, berkata, suaminya, Muhamad Faez Zainuddin, 33, keluar dari rumah mereka di Kampung Batu 17, Ayer Hitam-Muar kira-kira pukul 9 malam, 25 Julai lalu dengan menaiki kereta Kia Cerato berwarna kelabu gelap menggunakan nombor pendaftaran WA5152B.
Ketika keluar, ayah kepada seorang anak berusia setahun itu memakai seluar, baju serta topi berwarna gelap untuk ke tempat kerjanya di Parit Jawa.
“Hingga hari ini sudah memasuki hari kelima kehilangannya dan paling membimbangkan adalah telefonnya tidak dapat dihubungi.
“Sebelum hilang, kami tiada sebarang masalah dalam keluarga dan pihak tempatnya bekerja juga tidak mengetahui kedudukannya kerana dia keluar menggunakan kereta saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Hasnah berharap orang ramai yang mengetahui kedudukan suaminya dapat menghubunginya menerusi talian 017-3016224 atau ayahnya (Zainuddin) 012-7699453.
Dia telah membuat laporan di Balai Polis Parit Sulong tentang perkara itu. – UTUSAN











