GEORGE TOWN: Model terkenal, Siew Pui Yi atau lebih dikenali sebagai Ms Puiyi berjaya memenangi tuntutan berjumlah RM4.3 juta yang difailkan terhadap bekas rakan kongsinya, Lai Kai Jian selepas lelaki itu didakwa gagal muncul di mahkamah seperti yang disyaratkan sebelum ini.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi di sini menerusi keputusan penghakiman ingkar telah mengarahkan Kai Jian agar membayar tuntutan berkenaan setelah mendapati pihak defendan dengan curangnya memperdaya Pui Yi, 25, untuk menjelaskan tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu.
Terdahulu, peguam Pui Yi, K. Mahendran berkata, pihaknya sudah menampal notis di rumah Kai Jian atau lebih dikenali sebagai ‘Mentos’ selain menghebahkan kes yang difailkan oleh anak guamnya itu dalam akhbar untuk perhatian lelaki terbabit.
Bagaimanapun katanya, lelaki tersebut tidak mengendahkannya apabila tidak memfailkan sebarang kehadiran ataupun dokumen berhubung tuntutan berkenaan.
April lalu, Pui Yi yang juga seorang pelakon bertindak memfailkan saman sivil terhadap Kai Jian selepas mendakwa diperdaya lelaki itu untuk membayar cukai LHDN sehingga mengalami kerugian mencecah RM4.3 juta, dua tahun lepas.
Kata Pui Yi, lelaki berusia 29 tahun itu merupakan pengarah sebuah syarikat pemasaran miliknya sebelum ini iaitu PY Empires Sdn. Bhd.
“Tindakan (saman) sivil yang saya failkan ini bertujuan mendapatkan semula jumlah wang yang telah ditipu olehnya sebelum ini,” ujar beliau.
Jelas Pui Yi, susulan masalah yang dihadapinya dengan pihak LHDN, dia disenaraihitamkan oleh agensi itu kerana gagal membayar cukai sehingga terlepas menghadiri empat program di luar negara iaitu Australia hujung tahun lepas.
Dalam pada itu, pempengaruh sensasi itu juga sempat menitipkan nasihat kepada orang ramai terutamanya wanita muda untuk mengambil pengajaran daripada kes tersebut.
“Bayar cukai anda (sendiri) dan jangan percayakan mana-mana ‘ejen cukai’. Teruslah berurusan dengan pihak sepatutnya,” kata Pui Yi.-UTUSAN









