Model terkenal dakwa diperdaya rakan niaga RM4.3j

Model terkenal dakwa diperdaya rakan niaga RM4.3j

MS Puiyi (kiri) bersama peguamnya, K. Mahendren ketika sesi sidang akhbar berhubung kes penipuan RM4.3 juta oleh rakan niaganya di George Town, Pulau Pinang.- UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Model terkenal, Siew Pui Yi atau lebih dikenali sebagai Ms Puiyi memfailkan saman sivil terhadap seorang bekas rakan kongsinya selepas mendakwa diperdaya lelaki itu sehingga mengalami kerugian mencecah RM4.3 juta, dua tahun lepas.

Pui Yi, 26, berkata, lelaki berusia 29 tahun yang dikenali sebagai ‘Mentos’ itu merupakan pengarah sebuah syarikat pemasaran miliknya sebelum ini iaitu PY Empires Sdn. Bhd.

“Tindakan (saman) sivil yang saya failkan ini bertujuan mendapatkan semula jumlah wang yang telah ditipu olehnya sebelum ini.

“Dia (rakan niaga tersebut) telah menipu saya dengan menjanjikan bahawa dia dapat membantu menyelesaikan isu cukai pendapatan yang saya hadapi dengan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri),” kata Pui Yi ketika ditemui pemberita di pejabat peguamnya, K. Mahendren di Jalan Green Hall di sini, hari ini.

Terdahulu, Pui Yi yang juga dikenali sebagai seorang selebriti dan pempengaruh seksi itu memberitahu, satu laporan polis mengenai perkara tersebut telah dibuat pada pada 24 Oktober tahun lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini.

“Laporan itu dibuat dengan harapan pihak polis dapat membantu kami untuk mendapatkan keadilan daripada pihak ‘Mentos’,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pui Yi berkata, ‘Mentos’ dikenalinya melalui seorang rakan lain pada 2019 sebelum lelaki itu diberi tanggungjawab untuk menguruskan syarikat miliknya kerana dia dikatakan memiliki tahap integriti yang tinggi.

“Disebabkan saya begitu mempercayainya, saya kemudian telah menyerahkan sejumlah wang kepada ‘Mentos’. Bagaimanapun, saya kecewa kerana beliau masih gagal menyelesaikan masalah cukai pendapatan itu,” katanya.

Sementara itu, Mahendren berkata, selepas membuat laporan polis tahun lepas, anak guamnya itu telah beberapa kali dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini, tidak ada sebarang tindakan atau perkembangan mengenai kes tersebut dilaporkan.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya bertindak memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi George Town semalam untuk menuntut semula wang berjumlah RM4.3 juta itu yang merangkumi ganti rugi terhadap kos serta kerosakan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×